Manchester: Manchester City masih memiliki kualiti untuk menamatkan musim dengan cemerlang walaupun tersingkir daripada Liga Juara-Juara, kata pemain sayap, Jeremy Doku.
City tewas agregat 1-5 kepada Real Madrid selepas kalah 1-2 di laman sendiri, sekali gus menutup kempen Eropah mereka musim ini.
Aksi itu menyaksikan City beraksi dengan 10 pemain selepas kapten Bernardo Silva dilayangkan kad merah akibat menghalang bola di garisan gol.
Kekalahan itu melengkapkan minggu sukar buat skuad kendalian Pep Guardiola yang turut tercicir sembilan mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal.
Namun Doku tetap optimis City masih mampu bangkit.
“Kami bermain dengan baik. Dengan 11 lawan 11 dan juga 10 lawan 11, kami masih mencipta peluang,” katanya.
“Saya rasa jika kami kekalkan prestasi seperti ini, kami boleh menyusahkan banyak pasukan.”
Tambahnya, City masih mempunyai peluang dalam tiga kejohanan dan berpotensi menamatkan musim dengan trofi.
“Masih banyak yang boleh diburu. Jika kami berjaya, ia tetap musim yang hebat,” katanya.
Fokus kini terarah kepada final Piala Liga menentang Arsenal di Wembley, Isnin ini.
Menurut Doku, aksi final itu ibarat peluang terbaik untuk bangkit daripada kekecewaan di Eropah.
“Ia ‘penawar’ terbaik buat kami. Kami akan lakukan segalanya untuk menang dan menjulang trofi,” katanya.
Dalam aksi menentang Real, City bermula baik sebelum insiden kad merah Silva mengubah corak permainan.
Vinicius Junior menyempurnakan penalti sebelum Erling Haaland menyamakan kedudukan.
Namun Vinicius sekali lagi menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan Real.
Doku turut menegaskan Silva mendapat sokongan penuh rakan sepasukan.
“Dia kecewa, tetapi kami semua bersamanya. Sumbangannya kepada pasukan sangat besar,” katanya.
“Kami boleh berbangga dengan prestasi ini walaupun beraksi dengan 10 pemain menentang pasukan besar seperti Real Madrid.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




