sukan@gmail.com.my
Kuala Lumpur: Meskipun terpalit dengan pelbagai isu kontroversi yang membabitkan pasukan bola sepak negara, skuad Harimau Malaya tetap berjanji akan tampil dengan persembahan bertenaga untuk memburu tiga mata penuh.
Menurut pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, beliau dan barisan jurulatih lain masih bersemangat untuk membantu Malaysia layak ke kejohanan utama, termasuk Piala Dunia.
Katanya, biarpun harapan untuk beraksi di Piala Asia 2027 musnah berkecai susulan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan negara, beliau sudah ada beberapa perancangan untuk memastikan skuad kebangsaan tampil lebih garang selepas ini.
“Sejak tiba, saya memang dah jatuh cinta dengan negara ini. Bekerja dengan barisan pemain dan staf kejurulatihan memberi pengalaman yang baik kepada saya.
“Kita sudah ada perancangan jangka pendek untuk layak ke Piala Asia dan pelan jangka panjang iaitu melihat negara ini beraksi di pentas Piala Dunia.
“Saya rasa tiada apa yang berubah meskipun kita kecewa dengan situasi yang berlaku atas faktor luar padang (isu pemalsuan dokumen) sebelum ini.
“Namun, fokus sekarang bukan mengenai masa depan saya, tetapi lebih kepada persiapan pasukan untuk mengharungi perlawanan penting nanti,” katanya pada sidang media yang diadakan di Bukit Jalil, hari ini.
Untuk makluman, skuad bimbingan Cklamovski akan melengkapkan aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac ini.
Malaysia ketika ini berada di kedudukan kedua dalam Kumpulan F, namun peluang ke Arab Saudi sudah tertutup selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mendapati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain tidak layak dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
Situasi menjadi lebih parah apabila AFC mengambil tindakan tegas selepas meneliti keputusan penuh CAS dan menjatuhkan hukuman dengan menarik semula kemenangan dalam dua aksi Kelayakan Piala Asia 2027, selain memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Nepal serta Vietnam.
Keputusan itu menyaksikan skuad Naga Emas sudah mengesahkan tempat ke Piala Asia tahun hadapan biarpun keputusan perlawanan terakhir nanti tidak memihak kepada mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




