Clamovski kena mula rangka strategi– Wan Jamak

Clamovski kena mula rangka strategi– Wan Jamak

PETALING JAYA: Barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang diketuai Peter Cklamovski perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan menjelang aksi berdepan Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 31 Mac ini.

Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, Cklamovski perlu bergerak sekarang bagi merangka strategi termasuk boleh menggunakan khidmat tujuh tonggak warisan atau sebaliknya dalam aksi terakhir kelayakan itu.

Katanya, meskipun keputusan Mahkamah Timbang Tara (CAS) membabitkan tujuh pemain warisan belum diumumkan, wujud tekanan terhadap pemain dan kejurulatihan perlu memastikan mereka bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Yang paling penting sekarang adalah bagaimana pihak pengurusan dan staf kejurulatihan memotivasikan pemain, selain memastikan mereka mampu mengharungi tekanan yang ada di belakang mereka.

“Dari segi kualiti pemain, kita ada kemampuan untuk menyaingi kekuatan Vietnam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Wan Jamak menjelaskan, sekiranya tujuh pemain warisan dibenarkan beraksi, pasukan kebangsaan berpeluang menunjukkan persembahan terbaik.

“Kalau mereka dapat main, ini peluang untuk ‘balas dendam’ di atas padang, tapi bukan bermakna nak bermain kasar. Kita perlu tunjukkan permainan yang berkualiti,” jelasnya.

Beliau juga menekankan bahawa walaupun tanpa tujuh pemain warisan, Harimau Malaya masih mempunyai pemain berkaliber yang boleh digandingkan bagi mencipta strategi terbaik menentang Vietnam.

“Sekarang terpulang kepada perancangan kejurulatihan sama ada menggunakan Plan A atau Plan B.

“Kalau tujuh pemain ada, ia memberi kelebihan. Kalau tidak, mereka kena cari pilihan kedua yang terbaik,” tambahnya.

Bekas jurulatih kebangsaan itu turut menegaskan, Vietnam sudah pasti merasai tekanan sama, memandangkan kekalahan besar 0-4 sebelum ini dan kehadiran pemain warisan mampu mengubah corak permainan.

“Bila berlaku kontroversi ini, bukan hanya pihak kita yang menunggu keputusan CAS. Negara jiran seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand juga memerhati. Mereka tahu kekuatan Malaysia akan meningkat dengan pemain warisan ini, jadi sudah pasti mereka khuatir,” ujarnya.

Sebelum ini, satu analisis daripada penganalisis Vietnam, Quang Huy yang dipetik oleh Thetao247.com menjelaskan Vietnam bakal mengharungi detik yang sukar sekiranya keputusan CAS memihak kepada tujuh pemain yang sekaligus membolehkan mereka beraksi.UTUSAN

Scroll to Top