Clark mohon maaf rosakkan loker di Oakmont

Clark mohon maaf rosakkan loker di Oakmont

London: Wyndham Clark tampil memohon maaf, Khamis lalu, atas tindakannya merosakkan loker di Kelab Golf Oakmont Country Club akibat berang ketika saingan Terbuka Amerika Syarikat minggu lalu.

Clark gagal melepasi cut selepas mencatat 74-74 (8 atas par) dalam dua pusingan pertama kejohanan utama ketiga musim ini.

Sabtu lalu, hantaran di media sosial oleh podcast golf, Todd “Tron Carter” Schuster dari program “No Laying Up” memaparkan gambar dari bilik loker Oakmont yang rosak.

Dalam hantaran itu, Schuster berkongsi gambar menunjukkan dua pintu loker mengalami kerosakan serius, sebelum pihak pengurusan Oakmont mengesahkan loker berkenaan memang milik Clark.

Ketika ditemui media pada Kejohanan Travelers, semalam, selepas mencatat 6 bawah par 64 dalam pusingan pertama, Clark tidak menafikan perkara itu.

“Saya akui, dalam kerjaya saya, terutamanya tahun ini, ada turun naik yang agak mencabar. Saya melakukan kesilapan yang amat saya kesali. Saya benar-benar minta maaf atas apa yang berlaku,” katanya.

Tambah Clark, dia kini mahu bergerak ke hadapan dan menumpukan kepada baki musim ini, termasuk impiannya untuk layak ke Piala Ryder serta mengejar kedudukan dalam senarai Piala FedEx Cup.

“Saya mahu terus maju, bukan saja untuk diri sendiri, tapi juga untuk Oakmont, USGA dan seluruh komuniti golf. Saya masih ada matlamat besar untuk dikejar,” katanya.

Clark bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada dia memohon maaf secara terus kepada pihak Oakmont.

Insiden itu turut mencatat sejarah tidak manis buat juara Terbuka AS 2023 yang terpalit dua kejadian berturut-turut berkaitan sikap agresif di kejohanan utama.

Pada Kejohanan PGA Mei lalu, Clark mencampakkan kayu pemandunya ke arah belakang kotak tee selepas pukulan kurang menjadi, hingga terkena papan tanda dan nyaris mengenai seorang sukarelawan.

Kepala kayu golf itu turut dilaporkan patah dalam insiden berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top