Coach Albert susah hati tengok orang susah

Coach Albert susah hati tengok orang susah

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Puchong: “Bila mula buat sesuatu, saya fikir ia bukan kali pertama dan terakhir.

“Sama juga dengan kerja amal ini yang bagi saya tiada penghujungnya sampai saya tutup mata,” kata Albert Chung Kwai Yen atau mesra disapa Coach Albert yang kini aktif melakukan kerja amal dan kebajikan.

Albert, 47, berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai jurulatih bola sepak sepenuh masa namun kini melakukan kerja berkenaan secara sambilan iaitu pada hujung minggu kerana lebih aktif dalam aktiviti sukarelawan.

Menurut Albert, aktivis sosial, Kuan Chee Heng, 63, atau dikenali Uncle Kentang yang banyak memberinya tunjuk ajar dan menjadi rujukannya namun pembabitannya dalam kerja amal adalah kerana keinginan sendiri.

Kata Albert, kepuasannya adalah melihat mereka yang dibantu tersenyum dan tidak pernah mengharap balasan jauh sekali populariti walaupun ada berkongsi video aktiviti dilakukan di laman sosial.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya kerja sebagai jurulatih bola sepak sepenuh masa, tapi sekarang jadi sukarelawan di bawah Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia.

“Masih jadi jurulatih cuma pada hujung minggu dan buat kerja sekarang (sukarelawan) kerana saya suka bergaul dan membantu.

“Sikap itu terbawa sampai ke hari ini kerana saya susah hati kalau tengok orang susah dan mesti nak cari jalan bantu. Lagipun, saya pun datang daripada keluarga susah jadi rasa bertanggungjawab nak tolong orang,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurut Albert, dia berpengalaman mengendalikan pelbagai kes dengan sebahagian maklumat disalurkan Kuan dan ada juga orang awam menghubunginya secara terus.

Katanya, selepas menerima aduan, dia akan ke lokasi atau pantau daripada jauh terlebih dulu khususnya dalam kes membabitkan gelandangan sebelum mendekati golongan berkenaan.

“Pendekatan saya adalah datang perkenalkan diri sebelum tanya lebih lanjut masalah mereka.

“Kebanyakan mereka nak dibantu tapi ada juga menolak…bagi yang sudi, saya akan bantu dengan cuba beri bantuan bawa mereka ke tempat lebih baik jika memerlukan.

“Semua kes pun saya cuba bantu cuma daripada dulu banyak tolong gelandangan kerana itu kepakaran saya. Saya tolong pun tak mengira waktu, sampai hujung minggu minggu, lewat malam atau awal pagi pun akan buat kalau ada yang perlu bantuan,” katanya.

Sepanjang pembabitannya dalam kerja sukarelawan, Albert mengakui pernah berdepan beberapa pengalaman yang sangaat menyentuh hatinya.

“Ada dua yang saya tak dapat lupa, pertama bantu kembar terbabit dalam kemalangan motosikal di Puchong, Selangor…abangnya selamat tapi adiknya meninggal dunia dan saya dapat bawa mereka pulang ke kampung di Negeri Sembilan dalam tempoh PKP.

“Waktu itu saya datang pakai seluar pendek dengan tangan bertatu tapi orang kampung hargai sangat dan pelawa makan minum selepas tiba. Walaupun sedih dengan pemergian anak, emak ayah mereka ucap terima kasih kerana bantu bawa pulang anak mereka.

“Pengalaman kedua yang tak dapat dilupakan adalah bantu suami isteri dengan dua anak mereka yang tidur di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar berhampiran Lebuhraya Shah Alam (Kesas). Terharu kerana bila selesai bantu, anak mereka datang dan peluk saya.

“Kebiasaannya saya akan bantu sehingga selesai dan tak berhubung lagi dengan individu dibantu selepas itu kerana tak nak ada yang berasa terhutang budi tapi sedia tolong jika mereka datang cari saya,” katanya.

Selagi terdaya, Albert akan teruskan apa yang dilakukan kerana kerja amal dan aktiviti sukarelawan sudah sebati dengan dirinya.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bantu tak kira bangsa, agama dan latar belakang.

“Saya pun bantu atas dasar kemanusiaan dan sebab itu tolong, tak kisah orang tempatan atau warga asing kerana sebar kebaikan adalah keutamaan saya.

“Saya pun tak sangka video dikongsikan di TikTok dapat perhatian kerana niat saya muat naik video adalah nak ingat semula kes pernah dibantu.

“Kedua, saya nak cerita di sebalik video itu beri inspirasi kepada orang ramai untuk turut sama membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira siapa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top