Coe teruja minat India anjur Olimpik

Coe teruja minat India anjur Olimpik

Mumbai: Presiden World Athletics Sebastian Coe berkata, beliau gembira dengan minat India untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2036 tetapi memberi peringatan kepada negara itu bahawa menganjurkan temasya terbabit adalah antara projek paling kompleks di dunia.

Coe, 68, juara Olimpik dua kali 1,500 meter salah seorang daripada tujuh orang yang membida untuk menggantikan Thomas Bach sebagai presiden baharu Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

India kuasa sukan yang berkembang pesat belum pernah menganjurkan Olimpik. Ibu kotanya New Delhi menganjurkan Sukan Komanwel 2010 yang menelan kos AS$6 bilion (RM26 bilion).

Namun beberapa insiden memalukan berkaitan bumbung bocor dan kemudahan yang teruk menjejaskan imej India sebagai penganjur.

Semalam Coe yang datuknya rakyat India bertemu Perdana Menteri Narendra Modi dan Menteri Sukan Mansukh Mandaviya di Delhi dengan antara perbincangan mereka mengenai bidaan India untuk menganjurkan Olimpik 2036.

“Saya berbesar hati India suatu hari nanti menganjurkan Olimpik,” kata Coe yang mengetuai jawatankuasa bidaan dan penganjuran Olimpik London 2012.

“Kita semua tahu Olimpik acara sukan unik dan tidak mengejutkan saya negara bervisi tinggi seperti India berminat menjadi tuan rumah.”

Indonesia, Mesir, Turkiye, Qatar dan Arab Saudi antara negara yang menunjukkan minat menganjurkan Olimpik 2036. Los Angeles dipilih menjadi tuan rumah 2028 manakala Brisbane menjadi penganjur Olimpik 2032.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top