Gelagat mencuit hati Aaisyah Dhia Rana bersama ibunya, pelakon Rozita Che Wan dalam program ‘Anak Mama Masak Apa Tu?’ memang mencuri perhatian.
Namun episod minggu ini tampil berbeza apabila Aaisyah turut ditemani rakannya, Aurora yang juga anak kepada pelakon Diana Danielle.
Dalam episod tersebut, dua sahabat cilik ini menyediakan hidangan mudah iaitu Chicken Bites.
ARTIKEL BERKAITAN: Aaisyah Tak Malu Depan Kamera, Che Ta Terbuka Jika Anak Mahu Jadi Artis
Walaupun menu yang disediakan ringkas, perbualan mereka pula tidak berhenti dalam bahasa Inggeris hingga membuatkan Diana yang berada di belakang berseloroh meminta mereka menggunakan bahasa Melayu.
Di ruangan komen, ramai penonton turut terhibur melihat telatah Aaisyah dan Aurora. Ada yang menyifatkan mereka sangat comel, malah tidak kurang memuji keserasian kedua-duanya ketika berada di dapur.
Bagi yang ingin melihat lebih banyak aksi mereka, Anak Mama Masak Apa Tu? disiarkan setiap Ahad pada jam 7.00 malam atau boleh distrim melalui Tonton.




