Commerce Dot Com (CDC) cabar puncak Kilimanjaro

Commerce Dot Com (CDC) cabar puncak Kilimanjaro

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sempena ulang tahun ke-25 Commerce Dot Com (CDC), 19 kakitangan mereka menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kilimanjaro, Tanzania, bermula semalam hingga 10 September depan.

Ekspedisi Kilimanjaro diketuai Ketua Pegawai Eksekutif CDC, Datuk Muzafar Kamal Shahaluddin itu menjadi simbolik kepada ketahanan, perpaduan dan semangat kebebasan yang tidak pernah goyah dalam pembangunan negara.

Menurutnya, Ekspedisi Kilimanjaro bertujuan membentuk pasukan yang berdaya tahan, malah cabaran fizikal dan mental pendakian ini akan merapatkan hubungan antara peserta.

“Mengatasi keadaan gunung mencabar secara bersama memerlukan kepercayaan, sokongan dan dorongan yang akan mengukuhkan semangat komuniti.

“Pengalaman bersama ini akan dapat mengetepikan batasan antara individu, memperkukuh kerjasama dan komunikasi dalam organisasi.

“Apabila mereka kembali, ikatan yang terbina bakal diterjemahkan kepada tenaga kerja yang lebih dinamik dan padu sekali gus mendorong kejayaan lebih besar dalam organisasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Ekspedisi Kilimanjaro mencerminkan prinsip memerlukan peserta bergerak maju bersama serta memberikan sokongan apabila diperlukan.

“Ini mencerminkan perpaduan yang diperlukan dalam persekitaran korporat, di mana kejayaan mana-mana projek bergantung kepada usaha yang diselaraskan.

“Perpaduan sebegini membentuk budaya inklusif dan tanggungjawab bersama, mengukuhkan pemahaman tentang pentingnya berusaha ke arah matlamat sama,” katanya.

Katanya, Ekspedisi Kilimanjaro ini juga menjadi pemangkin dalam mengetengahkan gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangan.

“Persediaan dan penyertaan dalam aktiviti yang begitu mencabar ini mendorong amalan senaman secara tetap, pemakanan betul dan ketahanan mental.

“Mereka yang mengamalkan tabiat ini bakal memperolehi peningkatan tahap tenaga, produktiviti dan kesejahteraan keseluruhan.

“Komitmen terhadap kesihatan dan kecergasan ini boleh mengurangkan tekanan dan mencegah keletihan, menyumbang kepada keterlibatan tenaga kerja dan kakitangan yang lebih bertenaga,” katanya.

Beliau berkata, peluang unik Ekspedisi Kilimanjaro ini juga dapat meningkatkan semangat tenaga kerja dengan mencerminkan pelaburan syarikat dalam kesejahteraan dan perkembangan mental dan fizikal kakitangannya.

“Ini bakal membawa kepada peningkatan kesetiaan dalam kalangan pekerja. Kakitangan yang merasa dihargai dan terlibat lebih cenderung untuk kekal bersama syarikat dalam jangka masa panjang, mengurangkan kadar pertukaran kerja dan menyumbang kepada budaya tempat kerja yang positif.

“Pelanggan, rakan kongsi dan kakitangan masa depan akan melihat kita sebagai syarikat yang melangkaui kaedah tradisional untuk menggalakkan pertumbuhan, perpaduan dan kelestarian dalam tenaga kerjanya,” katanya.

Selain itu katanya, ekspedisi berkenaan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan menunjukkan komitmen syarikat terhadap kelestarian global.

“la menekankan kesihatan dan kesejahteraan (SDG 3), kepentingan pendidikan dalam kepimpinan dan semangat berpasukan (SDG 4), serta tanggungjawab terhadap alam sekitar (SDG 15).

“Melalui kerjasama dengan organisasi tempatan di Tanzania, ekspedisi ini juga menyokong ekonomi tempatan dan mengukuhkan hubungan antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top