Kuala Lumpur : Penyanyi legenda Amerika Syarikat, Connie Francis yang popular dengan lagu Pretty Little Baby, meninggal dunia pada usia 87 tahun, semalam.
Perkara itu disahkan rakan karibnya yang juga Presiden syarikat rakaman Concetta Records, Ron Roberts, menerusi satu hantaran di Facebook awal pagi Khamis (waktu Los Angeles).
“Dengan hati yang amat berat dan kesedihan yang mendalam, saya ingin memaklumkan kepada anda mengenai pemergian sahabat tersayang saya, Connie Francis, malam tadi,” tulisnya.
Katanya, Francis pasti bersetuju bahawa peminat-peminatnya perlu menjadi antara yang pertama mengetahui berita duka itu.
Berita kematian penyanyi itu hadir hanya dua minggu selepas dia dimasukkan ke hospital akibat kesakitan yang dikatakan amat serius.
Dalam satu hantaran sempena Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat pada 4 Julai lalu, Francis memaklumkan bahawa keadaannya semakin baik selepas mendapat rehat secukupnya.
Namun, dua hari sebelumnya, dia sudah pun dimasukkan semula ke hospital dan memaklumkan kepada peminat bahawa dirinya sedang menjalani beberapa siri pemeriksaan untuk mengenal pasti punca sebenar kesakitan dialami.
Dalam pada itu, nama Francis kembali disebut generasi baharu apabila lagu Pretty Little Baby yang dirakam pada tahun 1962 kembali tular menerusi aplikasi TikTok, 63 tahun selepas ia diterbitkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd