Contengan magis Rozamil pengubat rindu Barkis kepada arwah suami

Contengan magis Rozamil pengubat rindu Barkis kepada arwah suami

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Butterworth: “Mungkin lukisan itu biasa bagi kita tapi sangat besar maknanya untuk mereka yang rindunya tidak berpenghujung.”

Itu kata pelukis ‘air brush’, Mohd Rozamil Mohd Yatin, 40, yang sanggup datang dari Jitra, Kedah ke Kampung Sama Gagah, di di sini demi memenuhi hajat seorang wanita juga ibu tunggal, Barkis Azeme, 46, yang meminta jasa baiknya melukis gambar suami tercinta, Md Norhashim Md Nasir di kereta peninggalan Allahyarham.

Kisah itu mendapat perhatian dan meruntun hati warganet malah rata-ratanya memuji Mohd Rozamil kerana sudi menghasilkan lukisan tanpa mengambil bayaran.

Menyingkap kisah sebenar, Mohd Rozamil berkata, dia pernah berhubung dengan Barkis sebelum ini di TikTok selepas terbaca komen wanita itu yang mahu mengumpul duit dengan anak untuk mengupahnya menghasilkan lukisan ‘air brush’ berkenaan.

Katanya, komen ditinggalkan Barkis itu meruntun hatinya hingga terdetik rasa untuk menunaikan hajat wanita berkenaan tanpa mengambil upah.

“Ikutkan, saya jarang baca komen di TikTok tapi ada satu hari, saya terbaca komen Kak Kis (nama panggilan Barkis) mungkin kerana ayatnya yang membuatkan hati saya terusik.

“Jadi saya minta Kak Kis hantar mesej di TikTok dan tinggalkan nombor telefon untuk dihubungi. Cuma sebelum ini tak berkesempatan lagi untuk kami berjumpa kerana saya tinggal di Kuala Terengganu, Terengganu.

“Kebetulan semalam, saya dengan tiga rakan ke Jitra, Kedah kerana ada urusan. Waktu di sana, saya teringat Kak Kis jadi terus menghubunginya untuk datang ke rumahnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Rozamil, kedatangannya itu memang tidak dirancang dan dia dengan rakan tiba di rumah Barkis kira-kira jam 5 petang.

“Dia (Barkis) pun terkejut bila saya hubungi dan beritahu niat untuk datang ke rumah bagi menunaikan hajatnya.

“Dua jam juga saya ambil masa untuk siapkan lukisan itu berpandukan gambar arwah suami Kak Kis yang diberi waktu itu.

“Walaupun tiada kaitan, saya sebak waktu menghasilkan lukisan itu dan nampak Kak Kis macam hilang kata-kata.

“Ramai juga orang kampung datang tengok mungkin kerana arwah memang baik orangnya,” katanya.

Mohd Rozamil berkata, dia bersyukur dan puas kerana dapat menunaikan hajat Barkis dan anaknya.

“Sepanjang 20 tahun menjadi pelukis ‘air brush’, itu antara kenangan yang tak dapat saya lupakan.

“Niat saya cuma nak gembirakan Kak Kis dan anaknya mengikut apa yang termampu serta berharap mereka terima ‘contengan’ saya itu dengan seadanya.

“Saya tak harap duit atau balasan, cukup mereka doakan saya dengan pasukan terus berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Barkis ketika dihubungi berkata, dia sangat terharu dan berterima kasih kepada Mohd Rozamil kerana sudi merealisasikan impiannya dengan anak.

Katanya, lukisan itu sekurang-kurangnya menjadi pengubat rindu buat suaminya yang meninggal dunia tiga tahun lalu akibat barah pankreas.

“Saya tinggalkan komen di TikToknya (TikTok Mohd Rozamil) Disember lalu dan waktu dia balas dan minta mesej pun sudah terkelu sampai menangis.

“Bila dia hubungi saya semalam dan kata nak datang lagilah saya terharu kerana dapat lihatnya melukis gambar wajah Allahyarham suami di depan mata.

“Saya hargai sangat jasa baiknya dan hanya Allah SWT dapat membalasnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top