ferzalfie@hmetro.com.mu
Kuala Lumpur: Pemain badminton negara memiliki bakat untuk mencipta kejayaan di pentas antarabangsa, namun mereka perlu menunjukkan keinginan lebih tinggi untuk menang jika mahu melakar impak lebih besar.
Itu pandangan legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei yang melihat keinginan untuk menang dalam kalangan pemain Malaysia masih belum cukup kuat berbanding semangat juang ditunjukkan pemain Perancis.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, kejayaan Perancis muncul juara dunia dalam perseorangan lelaki dan beregu campuran pada Kejohanan Dunia di New Delhi, bulan lalu, membuktikan negara yang sebelum ini bukan kuasa besar badminton juga mampu mencipta kejayaan menerusi sikap dan kepercayaan terhadap kemampuan sendiri.
“Kalau ditanya saya sebelum ini, tiada siapa yang akan percaya Perancis boleh memenangi dua gelaran Kejohanan Dunia. Mereka sudah membuktikannya dan kita juga perlu buktikan bagaimana kita boleh memperbaiki diri untuk masa depan.
“Boleh nampak pemain Perancis masuk gelanggang dengan begitu kuat keinginan untuk menang. Pemain kita pun ada, tetapi mungkin tidak cukup,” katanya kepada media di Piala Lee Chong Wei semalam.
Perancis mencipta sejarah apabila Alex Lanier muncul pemain pertama negara itu memenangi gelaran dunia perseorangan lelaki, manakala Thom Gicquel-Delphine Delrue turut mencetuskan sensasi apabila menjuarai beregu campuran.
Lebih membanggakan, skuad lelaki Perancis turut muncul naib juara Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, Mei lalu.
Mengulas mengenai pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Leong Jun Hao, Chong Wei mengakui pemain berusia 27 tahun itu berdepan cabaran tersendiri, namun menegaskan perubahan sikap serta keinginan peribadi perlu menjadi keutamaan.
Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, Jun Hao tidak lagi mempunyai banyak masa untuk menunggu sebelum membuat lonjakan besar dalam kariernya.
“Saya harap dia tahu apa yang dia perlukan dan apa yang dia mahu. Dia bukan lagi berusia 18 atau 20 tahun.
“Dia tidak mempunyai banyak masa lagi dan perlu tahu apa yang dia perlukan. Dia mungkin mempunyai satu lagi peluang untuk ke Olimpik pada 2028, bergantung kepada keadaannya. Ia mengenai keinginan,” katanya.
Chong Wei turut menegaskan disiplin kekal menjadi asas paling penting untuk seseorang pemain mencapai tahap tertinggi, biarpun memiliki bakat yang besar.
Katanya, tanpa disiplin, bakat semata-mata tidak mampu membawa seseorang pemain ke tahap dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd

