Costa perlu masa kembali ke prestasi terbaik

Costa perlu masa kembali ke prestasi terbaik

Costa ketika beraksi dengan Atletico Mineiro musim lalu. – Foto Getty Images

PEMAIN Wolverhampton Wanderers (Wolves), Diego Costa menegaskan dia mungkin memerlukan sedikit masa dalam usaha mencipta impak tersendiri bersama pasukan baharunya itu.

Malah pemain berusia 33 tahun itu juga mengharapkan penyokong Wolves tidak terlalu menaruh harapan tinggi kepadanya dalam dua tiga perlawanan terdekat, terutama pada aksi berdepan Manchester City pada Sabtu.

“Saya mungkin memerlukan dua hingga tiga minggu untuk kembali mencapai tahap prestasi terbaik dan saya yakin mampu untuk melakukannya.

“Lagipun, jika saya sangsi dengan tahap kemampuan diri, sudah pasti saya tidak menerima tawaran daripada Wolves ini.

“Bagaimanapun, saya menerimanya kerana saya yakin mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan selain muncul sebagai antara pasukan digeruni,” katanya.

Untuk rekod, bekas pemain Chelsea itu dibawa masuk oleh pengendali Wolves, Bruno Lange bagi memperkuatkan skuad kendaliannya itu sehingga ke penghujung musim ini.

Kehadiran Costa diharap dapat mengisi kekosongan ditinggalkan penyerang Austria, Sasa Kalajdzic yang mengalami kecederaan ligamen lutut yang agak serius pada debut sulungnya bersama Wolves pada awal musim.

Sementara itu, Costa mengakui sudah tidak sabar untuk beraksi berdepan City, setelah tidak beraksi sejak meninggalkan kelab Brazil, Atletico Mineiro, Januari lalu.

Justeru katanya, sokongan daripada penyokong Wolves juga diharap dapat membantunya untuk kembali memberikan aksi terbaik.

“Sudah lama saya tidak beraksi, tetapi saya masih yakin dengan kemampuan saya bagi membantu pasukan.

Scroll to Top