Brussels: Penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois menyambut baik pelantikan Mark van Bommel sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan itu sambil mengakui masa depannya bersama pasukan negara masih belum diputuskan.
Van Bommel dilantik menggantikan Rudi Garcia selepas Belgium tersingkir pada suku akhir Piala Dunia, sekali gus menyaksikan kontrak jurulatih kelahiran Perancis itu tidak disambung oleh persatuan bola sepak negara berkenaan.
Courtois berkata pelantikan bekas pemain antarabangsa Belanda itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana namanya sudah lama dikaitkan dengan jawatan berkenaan.
“Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana namanya sudah berlegar sejak sekian lama.
“Saya rasa dia membuktikan ketika bersama Antwerp bahawa dia adalah jurulatih yang hebat. Ramai pemain bercakap secara positif mengenai dirinya, jadi saya tidak sabar untuk mengenalinya,” kata Courtois.
Menurut penjaga gol Real Madrid itu, pengalaman Van Bommel sebagai bekas pemain di peringkat tertinggi menjadi kelebihan besar kerana dia memahami cabaran yang perlu dilalui pemain dalam perlawanan besar.
“Perkara paling penting ialah Van Bommel sendiri pernah bermain di tahap tertinggi dan tahu bagaimana rasanya menghadapi perlawanan seperti ini.
“Pengalaman di peringkat tertinggi itu pastinya satu perkara positif dan secara semula jadi memberikan rasa hormat daripada pemain,” katanya.
Bagaimanapun, Courtois masih belum memberi kepastian sama ada dia akan terus beraksi bersama Belgium di bawah kendalian Van Bommel.
Pemain berusia 34 tahun itu sebelum ini menyatakan hasrat untuk meneruskan karier antarabangsa selepas Piala Dunia, namun mahu berbincang dengan jurulatih baharu itu mengenai kemungkinan berehat daripada kempen Liga Negara-Negara.
“Selepas Piala Dunia, saya masih mahu meneruskan karier bersama Belgium, tetapi ia bergantung kepada perbincangan yang saya akan lakukan dengannya.
“Saya mahu mendapatkan sedikit rehat ketika Liga Negara-Negara dan kami perlu mencapai persetujuan mengenai perkara itu. Selepas itu, saya akan membuat keputusan sama ada mahu teruskan atau tidak,” katanya.
Courtois turut mengulas mengenai penyingkiran Belgium di Piala Dunia selepas mengalami kecederaan ketika aksi suku akhir menentang Sepanyol di Los Angeles pada 10 Julai.
Ketika itu, penjaga gol gantian Senne Lammens melakukan kesilapan yang membantu Sepanyol mencatat kemenangan 2-1 sebelum muncul juara dunia.
Courtois sebelum ini menyatakan dia masih mampu meneruskan permainan dan mengulangi pendiriannya bahawa kecederaan itu tidak menghalangnya sepenuhnya.
“Saya cuma rasa saya tidak mampu lagi mengambil sepakan gol.
“Seorang pemain pertahanan boleh melakukannya. Dalam permainan terbuka, saya masih boleh membuat hantaran pendek.
“Tetapi jurulatih berkata, kami sudah bersetuju hanya pemain yang 100 peratus cergas akan bermain. Tiada masalah,” katanya.
Dalam masa sama, Courtois menegaskan tiada perselisihan berlaku antara dirinya dengan Garcia walaupun bekas jurulatih Belgium itu menerima kritikan hebat susulan beberapa keputusannya sepanjang Piala Dunia.
“Sudah tentu saya kecewa kerana ia menentang Sepanyol dan kami ketika itu berada dalam rentak yang baik. Tetapi pasukan lebih penting daripada saya.
“Keputusan sudah dibuat dan tiada permusuhan berlaku. Saya tidak pernah mahu bercakap buruk mengenai Garcia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




