PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti yakin penjaga gol Thibaut Courtois akan cergas untuk perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Arsenal pada Rabu ini.
Pemain Belgium itu sebelum ini bergelut dengan beberapa siri kecederaan musim ini tidak diturunkan dalam dua perlawanan terakhir, dengan Andriy Lunin menggantikannya.
Walaupun perlawanan LaLiga Real Madrid menentang Valencia pada Sabtu mungkin terlalu awal untuk Courtois, Ancelotti percaya penjaga gol itu akan tersedia untuk perlawanan di laman The Gunners minggu ini.
“Tiada kebimbangan. Courtois semakin baik, kami percaya dia boleh beraksi pada Rabu,” kata Ancelotti.
Bagaimanapun Lunin mungkin tidak dapat beraksi, selepas media Sepanyol melaporkan bahawa pemain Ukraine itu mengalami koyakan otot betis selepas perlawanan kedua separuh akhir Piala Raja Sepanyol menentang Real Sociedad.
“Kami mempunyai keraguan tentang Lunin, yang akan diuji hari ini,” jelas pengendali kelahiran Itali berkenaan.
Dengan Courtois dan Lunin diketepikan, kemungkinan penjaga gol berusia 19 tahun, Fran Gonzalez akan berada di gawang menentang Valencia.
“Dia penjaga gol yang hebat; masalahnya hanyalah dia masih muda. Jika tiba masanya esok, kami akan sangat gembira untuknya, kerana kami semua yakin dia mempunyai masa depan yang cerah. Tiada kebimbangan di pihak kami,” kata Ancelotti.
Real masih bersaing untuk meraih tiga gelaran, ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona, dan dijadualkan bertemu musuh tradisi itu di final Piala Raja Sepanyol hujung bulan ini.
“Kami melakukannya dengan baik. Sudah tentu, dengan beberapa keraguan kerana usaha masa tambahan (menentang Real Sociedad). Tetapi pasukan ini bermotivasi,” katanya.
LIGA JUARA-JUARA
SUKU AKHIR PERTAMA
RABU (9 APRIL)
Bayern Munich lwn Inter Milan
(Allianz Arena, 3 pagi)
Arsenal lwn Real Madrid
(Stadium Emirates, 3 pagi)
KHAMIS (10 APRIL)
Barcelona lwn Borussia Dortmund
(Stadium Olimpik Lluís Companys,3 pagi)
Paris Saint-Germain lwn Aston Villa
(Parc des Princes, 3 pagi)