Putrajaya: Sebanyak 3,847 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif COVID-19 di Malaysia ialah 238,721 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi menerusi 1,481 kes, dengan 1,117 kes dikesan dalam kluster sedia ada dan saringan
“Ini diikuti Johor dengan 585 kes (15.2 peratus) dan Kuala Lumpur dengan 402 kes baharu (10.4 peratus). “Sebanyak 133 kes (3.5 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster dalam lokap, depoh tahanan imigresen dan penjara.
“Antaranya Kluster Tembok Renggam (34 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (33), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (22), Kluster Penjara Jalan Harapan (16), Kluster Tembok Taiping (16), Kluster Tembok Gajah (lapan), Kluster Tembok Mempaga (tiga), dan Kluster Seberang Perai (satu),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, pertambahan kes itu menjadikan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini sebanyak 50,894 kes. Katanya, sejumlah 305 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 139 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 12 kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kepada 857 kes.
“Kes kematian itu membabitkan lapan warganegara dan empat warga asing iaitu tiga kes dilaporkan masing-masing di Sabah dan Johor, dua kes masing-masing di Kuala Lumpur dan Melaka serta masing-masing satu kes di Selangor dan Kelantan,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, 12 kluster baharu dikesan dengan 11 daripadanya berpunca di tempat kerja manakala satu membabitkan kumpulan berisiko.
Katanya, ia adalah Kluster Gong Nering (Besut, Terengganu) kini sudah menjangkiti 26 kes, Kluster Jalan Kubur Darau (Besut) menjangkiti 15 kes, Jalan Chester (Tawau) menjangkiti 10 kes, Kluster Tapak Bina Jalan Sungai Besi (Cheras) menjangkiti 12 kes, Kluster Jalan Bayu Satu (Johor Bahru) serta menjangkiti 18 kes.
“Ia diikuti Kluster Jalan Istimewa Tujuh (Johor Bahru) menjangkiti 29 kes, Kluster Jalan Tun Mutalib (Kota Tinggi) menjangkiti enam kes, Kluster Gudang Salak Tinggi (Sepang) menjangkiti 42 kes dan Kluster Industri Kampung Baru (Petaling) menjangkiti 167 kes.
“Selain itu, Kluster Lingkaran Cyber (Sepang dan Petaling) menjangkiti 24 kes, Kluster Jalan Banting-Klang (Kuala Langat) menjangkiti 13 kes serta Kluster Jalan Kuala Selangor (Kuala Selangor) yang membabitkan sebuah pusat pengajian dan menjangkiti 11 kes,” katanya. Sehingga jam 12 tengah hari ini, katanya, sebanyak 1,692 kes sembuh dilaporkan. Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada COVID-19 sebanyak 186,970 kes bersamaan 78.3 peratus daripada keseluruhan kes.-BH
Malay News
National Desk