LONDON: Britain berada di landasan tepat untuk mengurangkan perintah sekatan selari dengan pelan menyeluruh membendung penularan COVID-19, kata Menteri Kesihatannya, Matt Hancock.
Pengumuman itu susulan kejayaan Britain memastikan separuh daripada jumlah penduduk dewasa negara itu telah mendapatkan sekurang-kurangnya dos pertama vaksin COVID-19.
“Tidak ada petanda menunjukkan kita tidak mampu mencapai kejayaan seperti ditetapkan dalam pelan menyeluruh (COVID-19),” katanya kepada agensi berita Sky News.
Ditanya gelombang ketiga penularan pandemik COVID-19 di Eropah dan kesannya kepada Britain, Hancock berkata, kerajaan negara itu sentiasa berwaspada terhadap sebarang ancaman.
Peningkatan kadar jangkitan di Eropah akan menjejaskan rancangan Britain untuk mengembalikan kebenaran perjalanan pelancongan pada 17 Mei ini.
Britain dijangka mengumumkan perkara itu pada 12 April ini, dan Hancock mengesahkan bahawa keputusan kebenaran perjalanan akan dibuat dalam beberapa minggu lagi, bukan dalam waktu terdekat.
“Kami akan melihat kes yang dicatatkan di negara ini dan di luar serta kesan varian baharu bagi menilai apakah selamat untuk kita lakukan langkah itu,” katanya.
Sebelum ini, Hancock berpuashati dengan program vaksinasi COVID-19 dilaksanakan kerajaan dan menyifatkannya sebagai ‘kejayaan besar’ selepas separuh dari populasi dewasa di negara itu sudah mendapat suntikan.
Dalam sebuah video yang disiarkan di Twitter, beliau menyatakan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara itu, yang bermula pada awal Disember, adalah ‘satu kemajuan besar’ berdasarkan jumlah inokulasi yang dicatatkan pada Jumaat.
Perdana Menteri, Boris Johnson, adalah antara mereka yang mendapat suntikan vaksin pada hari berkenaan, menerima dos pertama vaksin AstraZeneca di Hospital London tempat, yang sama beliau dirawat akibat jangkitan COVID-19.
Britain memberi vaksin kepada hampir 27 juta orang, dengan lebih dari 421,000 dos sehari dalam seminggu hingga Isnin lalu, berdasarkan statistik kementerian kesihatan terkini.
Namun, Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) yang dikendalikan oleh negara di England memberi amaran minggu ini dalam surat kepada pusat vaksinasi tempatan bahawa dos akan ‘dikawal secara signifikan’ mulai 29 Mac selama empat minggu.
Dengan langkah itu, kempen inokulasi, yang merangkumi orang berusia 40-an, ditangguhkan hingga Mei, menurut surat itu.
Kerajaan negeri itu menegaskan, perubahan itu disebabkan oleh kekurangan bekalan dari Serum Institute of India, pembuat vaksin terbesar di dunia.
Namun, tindakan itu tidak menggagalkan rancangan negara itu melaksanakan sekatan dalam beberapa bulan mendatang. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




