COVID-19: Dua sekolah di Johor Bahru ditutup

COVID-19: Dua sekolah di Johor Bahru ditutup

bhnews@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya 3 dan Sekolah Kebangsaan Taman Daya di sini diarah tutup bermula hari ini, susulan terdapat kes positif COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, berkata kontak rapat di kedua-dua sekolah membabitkan guru dan pelajar sudah diarahkan untuk menjalani ujian calitan COVID-19.

Katanya, kes itu dipercayai berpunca daripada adik-beradik yang bersekolah di kedua-dua sekolah yang dipercayai mendapat jangkitan daripada nenek mereka.

“Saya tiada maklumat keseluruhan yang sudah menjalani ujian calitan, begitu juga dengan jumlah penutupan berapa banyak sekolah sehingga kini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa pantau, jika ada jangkitan, sekolah akan diarah tutup.

“Saya juga mengambil maklum mengenai aduan yang diterima daripada wakil rakyat supaya kerajaan negeri mempertimbangkan penutupan sekolah di daerah tertentu. Di peringkat kerajaan negeri, kita sentiasa memantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Bubur Lambuk JohorFM Pandu Lalu di pekarangan Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, keadaan sehingga kini masih terkawal dan masyarakat diminta untuk tidak mencetuskan kebimbangan.

Seramai 159 pelajar dari lima sekolah di sekitar daerah ini diarahkan menjalani saringan COVID-19 di Pusat Sehenti Penilaian COVID-19 (OSCAC) Pasir Gudang dan Bukit Indah di sini, kelmarin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top