COVID-19: Jururawat antara 23 kes baharu di Singapura

COVID-19: Jururawat antara 23 kes baharu di Singapura

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura melaporkan 23 kes baharu COVID-19 pada Rabu membabitkan seorang jururawat di Tan Tock Seng Hospital (TTSH).

Menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi, kementerian itu memaklumkan berikutan pengesanan kes terbabit, TTSH sudah menutup wad yang terjejas dan melakukan ujian ke atas pesakit dan kakitangan yang berada di wad.

“Setakat ini, kami mengesan empat lagi kes yang diuji positif awal untuk jangkitan COVID-19. Ia termasuk seorang doktor dan tiga pesakit yang dirawat di wad yang sama,” menurut kementerian itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kementerian kesihatan berkata, semua petugas yang merawat pesakit yang dijangkiti serta pelawat, pesakit dan kakitangan yang bekerja di wad itu akan dikuarantin.

Jururawat berusia 46 tahun itu adalah warga Filipina menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 26 Januari dan dos kedua pada 18 Februari lalu.

Daripada 23 kes baharu itu, tiga berada dalam komuniti, 20 lagi kes import, manakala tiada kes di asrama pekerja asing, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 61,086.

Setakat ini, kementerian mengklasifikasikan 2,353 daripada kes yang dilaporkan sebagai komuniti, kes import (4,217) dan 54,516 membabitkan penghuni asrama.

Secara keseluruhan, 60,718 pesakit sudah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital atau kemudahan rawatan komuniti.

Terdapat 112 kes yang disahkan pada masa ini masih berada di hospital dengan seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi.

Sebanyak 226 orang yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal sihat, tetapi diuji positif COVID-19 sudah diasingkan dan dirawat di kemudahan rawatan komuniti.

Setakat ini, 30 orang meninggal dunia di republik itu berikutan komplikasi akibat jangkitan COVID-19.

Singapura mempunyai enam kluster COVID-19 pada masa ini. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top