luqman.arif@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Lonjakan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini dibimbangi berpunca daripada penularan jangkitan varian Delta.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan varian Alpha yang berasal dari United Kingdom dan dikesan mula menular di Sabah sebelum ini berjaya dikawal.
Bagaimanapun, katanya, semua negeri di Malaysia kemudian dikesan mempunyai penularan jangkitan varian Beta dari Afrika Selatan.
“Sekarang yang dominan ialah varian Delta dari India atau varian mutasi berganda dan kita bimbang bagi tempoh satu hingga dua minggu lalu, ia adalah kesan daripada varian ini.
“Jadi, kita perlu memperkukuhkan tindakan kesihatan awam bagi membendung penularan jangkitan daripada varian membimbangkan (VOC) ini,” katanya dalam program The Nation bertajuk COVID-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita di Bernama TV, malam ini.
Walaupun berdepan ancaman varian lebih ganas dan cepat menular, Dr Noor Hisham berkata, pemberian suntikan imunisasi meliputi semua jenis portfolio vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) masih berkesan.
Katanya, hal itu kerana kadar kematian membabitkan individu berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai risiko kesihatan didapati menurun hasil kesan pemberian vaksin.
“Kes aktif ketika ini iaitu sekitar 84,000 orang sebenarnya merangkumi ramai pesakit kategori satu dan dua. Mereka diasingkan di rumah, bukan di hospital.
“Ini bagi memastikan hospital kita tidak sesak dengan pesakit, manakala tumpuan rawatan dapat diberikan kepada individu lebih kritikal iaitu yang berada di kategori empat dan lima.
“Walaupun pesakit kritikal, iaitu kategori empat dan lima hanya mewakili lima peratus daripada angka keseluruhan, mereka terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta hospital bagi tempoh lama,” katanya.
Beliau berkata, sebagai contoh secara purata pesakit kategori empat lazimnya ditempatkan sekitar dua minggu di hospital, manakala pesakit kategori lima selama tiga minggu di ICU.
“Justeru, nasihat kita pada segelintir rakyat Malaysia yang masih tidak mengambil suntikan vaksin ialah galakkan mereka untuk daftar dan dapatkan perlindungan imunisasi.
“Ini kerana, kesan terhadap aspek kesihatan dan klinikal amat teruk, iaitu kategori tiga hingga lima sekiranya mereka dijangkiti tanpa mendapat suntikan vaksin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




