HONG KONG: Hong Kong semalam mengumumkan akan menangguhkan perkhidmatan mahkamah selama sebulan berikutan bandar raya itu merekodkan lebih 50,000 kes COVID-19 baharu untuk hari ketiga berturut-turut.
Hab kewangan itu kini dilanda wabak terburuk menyebabkan hospital dibebani kes tinggi sekali gus memusnahkan strategi sifar COVID-19 bagi bandar itu.
Badan kehakiman berkata, pihaknya akan menangguhkan hampir kesemua perbicaraan antara 7 Mac dan 11 April sehingga mencapai keseimbangan antara pertimbangan kesihatan awam dan pentadbiran keadilan sewajarnya.
Sementara itu, pihak berkuasa pada Rabu melaporkan kira-kira 1,000 banduan positif COVID-19 dengan media tempatan melaporkan hakim juga turut dijangkiti.
Pihak berkuasa berkata pada Rabu sekitar 1,000 banduan diuji positif dan media tempatan melaporkan bahawa hakim juga telah dijangkiti.
Bagaimanapun penggantungan itu tidak termasuk perbicaraan berterusan dan permohonan segera, manakala beberapa prosiding secara peribadi akan diuruskan seperti dijadualkan.
Katanya kemungkinan pihaknya akan mengurangkan operasi berikutan pelaksanaan ujian mandatori COVID-19 bagi seluruh penduduk bermula akhir bulan ini.
Semalam, Hong Kong menyaksikan 52,523 jangkitan baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada lebih 390,000 sejak varian Omicron yang sangat mudah menjangkiti mengalami lonjakan kes.
Terdapat 1,341 kematian dalam gelombang terbaharu dalam kalangan 7.4 juta penduduk dengan lebih separuh daripada yang menjadi korban adalah warga emas yang mendiami pusat jagaan.
Walaupun hampir 90 peratus penduduk Hong Kong sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, namun 67 peratus angka itu adalah mereka yang berumur 70 tahun ke atas.
Kes COVID-19 dikesan di lebih 70 peratus rumah jagaan warga emas dengan sekurang-kurangnya 13 peratus penghuninya dijangkiti, kata seorang pegawai, semalam.
Hong Kong juga dilaporkan meminta bantuan pihak berkuasa tanah besar China untuk membendung krisis yang semakin teruk, dengan kakitangan China menyeberangi sempadan untuk membantu membina kemudahan perubatan dan meningkatkan kapasiti ujian.
Pegawai tertinggi Beijing, Xia Baolong yang menyelia hal ehwal Hong Kong kelmarin memaklumkan pihak berkuasa tempatan mesti ‘memikul tanggungjawab berat’ untuk memerangi wabak itu, menurut media negara China.
Xia turut menggesa pegawai Hong Kong untuk ‘mendedah, mengkritik dan menyekat’ pasukan anti-China secara paksa untuk mengekalkan kestabilan di bandar itu.
Sementara itu, satu daripada rangkaian pasar raya terbesar di Hong Kong dan rangkaian farmasi utama mengumumkan catuan barangan ruji selepas mengalami gelombang pembelian panik minggu ini.
Beberapa rak pasar raya kosong berikutan mesej yang tidak selari daripada pegawai atasan Hong Kong sama ada akan dikuat kuasa perintah berkurung.
Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam berkata kerajaan akan menjalankan ujian virus di seluruh bandar bulan ini dan langkah-langkah akan diambil untuk mengurangkan pergerakan orang ramai, walaupun tiada butiran lanjut diumumkan.
Pada minggu ini, Lam berjanji Hong Kong tidak akan melakukan ‘penutupan secara besar-besaran’ ketika ujian berkenaan dijalankan. -AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




