COVID-19: Pakar bidas rancangan UK mansuh sekatan

COVID-19: Pakar bidas rancangan UK mansuh sekatan

LONDON: Pakar antarabangsa semalam memberi amaran bahawa rancangan Kerajaan United Kingdom (UK) untuk memansuhkan sekatan pandemik COVID-19, minggu depan, disifatkan sebagai tindakan melulu dan tidak mempunyai asas dalam sains.

Malah, ada dalam kalangan mereka yang mendakwa tindakan itu ibarat ‘pembunuhan terancang’.

Sebelum ini Perdana Menteri, Boris Johnson, dilaporkan berkata ada ‘kemungkinan tinggi’ yang keadaan terburuk pandemik itu sudah berakhir, tatkala beliau meneruskan rancangan untuk pembukaan semula pada Isnin depan walaupun varian Delta sedang menular di luar kawalan.

Beliau dipetik berkata, UK boleh dibuka semula berikutan dua per tiga daripada penduduk dewasa di negara ini sudah menerima vaksinasi lengkap.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Perubatan England, Chris Whitty, memberi amaran bahawa kadar jangkitan sedang menuju ke tahap ‘cukup menakutkan’.

Saintis antarabangsa, termasuk penasihat kerajaan lain, turut mengkritik tindakan Johnson itu.

“Saya telah menulis bahawa saya percaya yang strategi imuniti kelompok sebenarnya membunuh.

“Menyasarkan imuniti kelompok bermakna meneruskan suatu dasar dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan ribuan kematian.

“Dasar terbabit adalah suatu bencana,” kata saintis Amerika Syarikat (AS), William Haseltine, selepas perbincangan kecemasan oleh pakar berhubung rancangan UK itu.

Kerajaan UK menafikan sedang meneruskan dasar ‘imuniti kelompok’ dengan membiarkan varian Delta merebak, namun mengaku bahawa angka harian jangkitan boleh melonjak kepada 100,000 pada minggu mendatang, yang bakal menambah tekanan kepada hospital.

“Saya tidak fikir kita patut meremehkan fakta bahawa kita boleh kembali berdepan masalah dengan sangat cepat,” kata Whitty, Khamis lalu.

Beliau sekali gus menggesa orang ramai supaya tidak terburu-buru apabila sekatan dilonggarkan nanti.

Bermula Isnin ini – yang juga dipanggil ‘Hari Kebebasan’ oleh sesetengah media – kerajaan akan menarik balik kebanyakan sekatan terhadap perhimpunan awam di England dan membenarkan perniagaan seperti kelab malam untuk kembali beroperasi.

Arahan memakai pelitup muka dan bekerja dari rumah juga akan ditarik balik, dengan Johnson memperkenalkan pendekatan baharu tanggungjawab peribadi, meskipun beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mengabaikan langkah berjaga-jaga. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top