luqman.arif@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk COVID-19 di Lembah Klang secara keseluruhannya telah mencecah 113 peratus.
Situasi dikesan lebih meruncing di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, dengan kadar penggunaan katil ICU itu menjangkau 117 peratus.
Kementerian Kesihatan (KKM) ketika mendedahkan perkembangan terkini itu turut memuat naik gambar keadaan di HTAR yang penuh sesak dengan pesakit kritikal COVID-19.
“Wad biasa juga digunakan untuk merawat pesakit ini kerana kadar penggunaan sudah melebihi 100 peratus.
“Hospital KKM kini terpaksa menukar fungsi lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa, untuk dijadikan ICU sementara dengan katil dilengkapi peralatan perubatan tertentu.
“Virus COVID-19 berada dalam komuniti. Patuhilah prosedur operasi standard (SOP) dan duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar.
“Bantu KKM dengan ‘lockdown’ (perintah berkurung) kendiri untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Jangan tunggu lagi. Kita jaga kita,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini.
Rayuan bertali arus susulan kes harian COVID-19 yang melambung hingga melepasi paras 6,000 kes berturut-turut sejak Rabu lalu itu menyaksikan KKM kini menggunakan tanda pagar #LockdownKendiri dan #FrontlinerSudahPenat.
Pada 19 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sekali lagi menggesa masyarakat untuk tampil membantu petugas barisan hadapan, dengan kekal berada di rumah bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.
Pendirian itu disuarakan selepas petugas perubatan ketika ini amat memerlukan rehat, memandangkan perkhidmatan kesihatan kini dikesan berada pada tahap genting berikutan penularan gelombang ketiga COVID-19.
Meskipun berdepan tekanan kerja, Dr Noor Hisham menjelaskan peluang rehat kepada petugas perubatan diberikan secara bergilir, mengikut jadual dan keadaan semasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




