COVID-19 : Sidang DUN Johor ditangguh buat kali kedua

COVID-19 : Sidang DUN Johor ditangguh buat kali kedua

farid_noh@bh.com.my

ISKANDAR PUTERI: Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, yang baru berjalan dua hari ditangguhkan buat kali kedua bermula esok, selepas kes aktif dikesan di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, berkata penangguhan persidangan itu bermula esok, disyorkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

“Berdasarkan laporan penilaian risiko JKNJ, mereka mengesyorkan persidangan DUN Johor esok dan lusa ditangguhkan kerana kes COVID-19 yang meningkat.

“Oleh itu, persidangan DUN Johor yang dijadualkan berlangsung pada esok dan lusa (24 Ogos dan 25 Ogos) ditangguhkan mengikut Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Negeri Johor.

“Persidangan DUN Johor akan disambung semula pada 6 dan 7 September ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor memuat naik surat daripada Pejabat Jurutulis DUN Johor yang memaklumkan penangguhan itu di akaun media sosial mereka.

Semalam media melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven disahkan positif COVID-19 manakala tiga lagi ADUN diarahkan menjalani kuarantin.

Sebelum ini, Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14 yang dirasmikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 12 Ogos lalu, ditangguhkan selama seminggu dan bersambung sejak Ahad, bagi penilaian risiko kesihatan dan pelaksanaan SOP lebih ketat.

Jumaat lalu, media melaporkan kesemua 56 ADUN Johor diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen), setiap hari ketika menghadiri Sidang DUN Johor yang bersambung semula Ahad lalu.

Suhaizan dilaporkan berkata, SOP berkenaan disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan berlaku di Bangunan Sultan Ismail yang menempatkan dewan persidangan DUN Johor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top