BANGKOK: Thailand mengesan penularan tempatan COVID-19 varian Afrika Selatan membabitkan seorang peniaga dari Tak Bai, Narathiwat.
Lelaki warga Thailand berusia 32 tahun itu disahkan positif varian B.1.351 pada 4 Mei lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit, Dr Opas Kamkawinpong, berkata lelaki itu diziarahi ahli keluarganya – isteri yang juga warga Malaysia, anak dan ibu mentua – yang menyeberang sempadan secara sah dari Malaysia. Kesemua mereka tidak menjalani kuarantin mandatori.
Beliau berkata, mereka semua tinggal di Thailand dari 12 April hingga 4 Mei dan sudah pulang ke Malaysia.
“Varian Afrika Selatan yang dikesan di Thailand sama dengan yang terdapat di Malaysia.
“Berikutan kawalan pergerakan di wilayah itu dari 9 hingga 22 Mei, situasinya adalah terkawal. Tidak ada jangkitan baharu dilaporkan,” katanya pada taklimat harian COVID-19, di sini, hari ini.
Opas berkata, pihak berkuasa kesihatan telah mengesan 698 kontak rapat dengan 81 disahkan positif COVID-19.
Beliau berkata, pengesanan kes aktif dilakukan terhadap 160 individu dalam komuniti dengan dua didapati positif.
“Seramai 83 pesakit diuji positif daripada kluster ini dan tiga didapati dijangkiti varian Afrika Selatan.
“Mereka tidak mempunyai gejala teruk dan dirawat di hospital. Seramai 16 pesakit sudah pulih dan keluar hospital, manakala 67 masih dirawat,” katanya.
Sejak 24 jam lalu, Thailand melaporkan 3,382 kes baharu COVID-19 termasuk 460 membabitkan banduan, dan 17 lagi kematian, membawa kepada jumlah 129,500 jangkitan serta 776 korban.
Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin, berkata perintah kawalan pergerakan diperketatkan dikenakan di tapak binaan di daerah Lak Si, Bangkok, selepas lebih 1,100 pekerja dikesan positif COVID-19.
“Dengan sekatan itu, kami berharap dapat membendung wabak di tapak pembinaan berkenaan,” katanya. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd