
BANGKOK: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand meluluskan penggunaan kecemasan vaksin dos tunggal Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal gergasi dari Amerika Syarikat, Johnson & Johnson (J&J).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata, J&J adalah pengeluar vaksin ketiga yang mendapat kelulusan selepas vaksin AstraZeneca dan Sinovac yang kini digunakan dalam program vaksinasi di negara itu.
“Pengeluar vaksin Covid-19 lain dipelawa mengemukakan permohonan mereka di Thailand dan ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat,” menurutnya di Facebook semalam.
Ketua Setiausaha FDA Paisal Dunkhum pula berkata, syarikat Sputnik V dari Rusia dan Sinopharm dari China sedang melakukan persediaan untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kelulusan.
Kira-kira 96,000 orang di Thailand telah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 sejak program vaksinasi di negara itu bermula pada 28 Feb.
Setakat ini, lebih 5,800 orang telah diberikan suntikan vaksin sepenuhnya.
Thailand berhasrat memberikan suntikan vaksin kepada sekurang-kurangnya 50% daripada penduduk negara itu menjelang akhir tahun ini.