COVID19: 37 kluster baharu dikesan

COVID19: 37 kluster baharu dikesan

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Sebanyak 37 kluster baharu COVID-19 dikesan, hari ini, termasuk dua kluster pendidikan lain yang kes indeks membabitkan kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dua kluster itu ialah Kluster Putra Bertam, Pulau Pinang, dengan kes indeks merupakan seorang kanak-kanak perempuan rakyat Malaysia berusia tiga tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada Rabu lalu hasil saringan individu bergejala.

“Kanak-kanak itu mula menunjukkan gejala pada 10 Julai lalu. Seramai 11 individu sudah dijangkiti dalam kluster itu, termasuk lapan kes baharu yang dikesan, hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Seterusnya, Kluster Jalan Cengal Selatan di Kuala Lumpur dengan kes indeks merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dilaporkan positif pada Selalu lalu hasil saringan individu bergejala.

Dr Noor Hisham memaklumkan, kanak-kanak itu mula menunjukkan gejala pada 11 Julai lalu, dan 13 individu sudah dijangkiti dalam kluster berkenaan, termasuk sembilan kes baharu dikesan, hari ini.

Satu lagi kluster pendidikan lain yang turut dikesan pada hari ini ialah Kluster Jalan Pulai Indah 27 di Johor.

Selain itu, 19 kluster baharu membabitkan tempat kerja, komuniti (lapan), pusat tahanan (empat) dan kumpulan berisiko tinggi (tiga).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top