Madrid: Arena bola sepak dunia dikejutkan dengan pemergian tragik bintang Liverpool dan Portugal, Diogo Jota, yang maut dalam kemalangan jalan raya bersama adiknya di Sepanyol awal pagi Khamis.
Menurut pengesahan pihak berkuasa, kereta mewah yang dinaiki Jota dan adiknya, Andre Silva, terbabas sebelum terbakar di Cernadilla, wilayah Zamora, utara Sepanyol, dipercayai akibat letupan tayar ketika memotong.
Kedua-dua mangsa rentung dalam kenderaan jenis Lamborghini yang remuk teruk dan gagal diselamatkan.
“Kenderaan itu terbakar sepenuhnya dan mereka meninggal dunia di dalamnya,” kata wakil kerajaan wilayah, Angel Blanco.
Pemergian Jota, 28, hanya 11 hari selepas melangsungkan perkahwinan bersama Rute Cardoso, meninggalkan kesan mendalam kepada peminat dan komuniti bola sepak antarabangsa.
Cristiano Ronaldo antara yang terawal mengucapkan takziah.
“Pemergianmu tiada logik. Baru saja berkahwin dan julang trofi UEFA Nations League. Kami semua akan merindui kamu,” tulisnya di platform X.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF), Pedro Proenca menyifatkan Jota sebagai insan luar biasa.
“Kami kehilangan dua juara. Kehilangan Jota dan Silva adalah satu kehilangan besar buat bola sepak Portugal,” katanya.
Bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, yang membawa masuk Jota ke Anfield pada 2020 meluahkan rasa pilu.
“Saya hancur hati. Dia bukan hanya pemain hebat, tapi manusia yang menakjubkan,” katanya di Instagram.
Di Anfield, ratusan penyokong mula membanjiri kawasan stadium dengan meletakkan jersi, bunga, selendang dan sepanduk tanda penghormatan buat pemain kesayangan mereka itu.
Jota yang menyertai Wolves pada 2017, sebelum menyinar dan menyertai Liverpool dengan nilai perpindahan £45 juta (RM267 juta), menjaringkan 65 gol dalam lima musim bersama The Reds.
Musim lalu, dia menyumbang sembilan gol ketika Liverpool muncul juara Liga Perdana Inggeris buat kali ke-20.
Adiknya, Andre Silva, 26, pula bermain sebagai pemain tengah untuk FC Penafiel dalam liga divisyen dua Portugal.
Jota dan isterinya dikurniakan tiga anak dan beliau sempat muat naik video perkahwinan mereka beberapa jam sebelum tragedi berlaku.
Bagi mengenang pemergian Jota, UEFA mengarahkan saat bertafakur dilakukan di semua perlawanan Euro Wanita 2025 termasuk perlawanan Portugal bertemu Sepanyol di Switzerland.
Rakan sepasukan di Portugal, Ruben Neves menulis di Instagram kemalangan terbabit.
“Mereka kata kita hanya kehilangan seseorang bila kita lupa mereka. Aku takkan pernah lupa kamu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

