lizamridzuan@hmetro.com.my
SEJAK pengenalan Honda CR-V generasi ke-6 pada 2023, ia menjadi pilihan pembeli yang mahukan kenderaan utiliti sukan (SUV) bergaya dengan ciri-ciri moden dan sporty.
Ia dibuktikan menerusi prestasi jualan memberangsangkan dengan menduduki kedudukan teratas segmen SUV saiz pertengahan yang dicatatkan tahun lalu iaitu sebanyak 11,300 unit.
Model ini menguasai 36 peratus pasaran mengukuhkan permintaan yang semakin meningkat dalam pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 40 peratus.
Paling menarik model 2.0L e:HEV RS (hibrid) sebagai model penting dalam pencapaian itu yang menyumbang sebanyak 20 peratus jualan adalah di luar jangkaan syarikat.
Selain lebih prestasi, teknologi termaju dan reka bentuk bergaya dengan pengenalan trenkuasa e:HEV generasi baharu itu menawarkan kuasa 184PS dan tork 335Nm.
Ia bukan sahaja dengan kecekapan penggunaan bahan api yang menakjubkan, malah menyumbang kepada pemanduan mesra alam dan lebih ekonomi.
CR-V bukan hanya ditawarkan dengan enjin hibrid, malah buat yang menggemari enjin petrol, ia tersedia dengan enjin turbo 1.5L VTEC menjana kuasa maksimum 193PS dan tork puncak 243Nm.
Varian V pula dilengkapi dengan Real-Time AWD, memastikan kestabilan dan kawalan dipertingkatkan dalam pelbagai keadaan jalan.
Kehadiran CR-V yang menarik di atas jalan raya ditambah dengan reka bentuk badan yang kini lebih sporty dan bergaya.
Ciri-ciri tersendiri seperti gril hadapan unik dengan corak jaring, lampu hadapan dan belakang LED yang meningkatkan penampilan luarannya moden dan sofistikated.
Varian e:HEV RS mempunyai ciri tambahan seperti Lampu Membelok Aktif dan Gril Pengatup Aktif.
Untuk ruang kabin direka dengan fokus pada keselesaan termasuk lampu suasana mewujudkan suasana santai, dan varian e:HEV RS menawarkan sistem bunyi Premium BOSE dengan 12 Pembesar Suara dan Meter TFT 10.2 inci untuk pengalaman audio yang mengasyikkan.
CR-V terkenal dengan dalaman selesa, menyediakan ruang unjuran kaki yang luas untuk penumpang belakang.
Ruang but serbaguna menawarkan kapasiti 589 liter ketika tempat duduk belakang dinaikkan sehingga 1,072 liter apabila tempat duduk dijatuhkan.
Pintu belakang kuasa elektrik dengan fungsi Walk Away Close menambah kemudahan untuk memuat dan memunggah barangan.
Elemen keselamatan adalah keutamaan Honda Malaysia dan CR-V dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan moden yang komprehensif dengan Honda Connect dan Honda Sensing yang dinaik taraf.
Untuk penambahbaikan keselamatan tambahan dalam varian e:HEV, ia dilengkapi Adaptive Driving Beam dan sistem kamera 360 darjah, memastikan ketenangan fikiran untuk pemandu dan penumpang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




