GENEVA: Fenomena El Nino mungkin menjadi yang paling kuat sejak empat dekad lalu, menurut agensi iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.
Ketua Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), Celeste Saulo memberi amaran bahawa dunia kini berada dalam zon bahaya cuaca ekstrem.
Fenomena cuaca yang berlaku secara semula jadi itu dijangka menjadi sangat kuat dalam beberapa bulan akan datang dan hampir pasti berterusan sehingga Februari, kata Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO).
El Nino menyebabkan peningkatan suhu permukaan di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa, sekali gus mencetuskan perubahan pada angin, tekanan atmosfera serta corak hujan di seluruh dunia.
“Jika trajektori ini berterusan, ia mungkin menjadi lebih kuat berbanding apa-apa yang pernah direkodkan sejak pemantauan kami bermula -secara harfiah melepasi carta yang kami gunakan sepanjang empat dekad lalu,” kata Saulo kepada pemberita di Geneva.
El Nino akan mencapai kemuncaknya menjelang penghujung tahun ini.
Namun, kesan susulannya terhadap iklim akan berterusan sehingga jauh ke tahun 2027, kata WMO.
Haba di lautan dilepaskan ke atmosfera secara lebih perlahan, menyebabkan suhu global meningkat pada tahun berikutnya.
El Nino yang kuat pada 2023-24 menyumbang kepada 2024 yang menjadi tahun paling panas pernah direkodkan.
El Nino ialah fenomena iklim semula jadi dan tidak berpunca daripada perubahan iklim – AFP
