am@hmetro.com.my
Balik Pulau: Cuaca panas terik memberi kelebihan buat pengusaha ikan masin di Kuala Sungai Pinang, di sini, apabila produk dihasilkan lebih mudah dan cepat.
Sepanjang cuaca panas, ikan yang dijemur hanya mengambil masa hampir setengah hari bagi dikeringkan berbanding satu hingga dua hari sebelum ini.
Maslinda Mohamed Yusoff, 50, berkata, dia mengusahakan perniagaan itu di rumah sejak tiga tahun lalu dan mendapat bekalan bahan mentah daripada beberapa persatuan nelayan di sekitar Balik Pulau.
Katanya, sejak cuaca panas melanda negara, dia menjemur sehingga 10 hingga 15 kilogram (kg) ikan masin sehari berbanding hanya lima kg pada hari biasa.
“Ikan tidak boleh dijemur dalam kuantiti yang banyak pada hari biasa kerana ia boleh cepat rosak atas beberapa faktor seperti hujan walaupun sekejap atau mendung, menyebabkan ia lambat kering.
“Ikan gelama dan kebasi yang dijemur khususnya bersaiz kecil dan sederhana, hanya mengambil masa kurang enam jam untuk kering berbanding sehingga dua hari seperti kebiasaannya.
“Bagi sesetengah orang cuaca panas tidak memberi kebaikan tetapi bagi pengusaha produk seperti saya, ia satu kelebihan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Maslinda berkata, ikan yang dijemur di bawah matahari terik akan kelihatan ‘jernih dan cantik’ berbanding cuaca biasa.
“Jika cuaca kurang baik atau mendung, ikan yang dijemur akan berwarna keperangan atau kemerahan.
“Cuaca panas terik begini memang berlaku setiap tahun tetapi dikatakan kali ini lebih panjang, jadi kami ambil peluang bagi memproses produk dengan lebih banyak.
“Selepas bekalan diperoleh, ikan akan dibuang isi perut sebelum dicuci dan dipotong, seterusnya diperap dalam masa satu hingga dua hari.
“Kemudian barulah dijemur dan apabila kering, ikan itu diletak di dalam peti sejuk bagi mengelak dihurung lalat. Satu atau dua hari kemudian, ikan akan dibungkus sebelum dihantar ke kedai bagi dijual,” katanya.
Maslinda berkata, dia mengusahakan produk ikan masin itu dengan bantuan suami, yang pada asalnya ingin membantu golongan nelayan dengan membeli hasil laut mereka.
“Dahulu saya usahakan secara kecil-kecilan, namun kini pasarannya lebih luas sekali gus mempelbagaikan lagi produk keluaran Muslim.
“Ikan masin enak dimakan bersama nasi panas atau pulut dan menu seperti ini memang popular di bahagian utara tanah air,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




