Cuaca panas, kering fasa akhir MTL bermula awal

Cuaca panas, kering fasa akhir MTL bermula awal

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cuaca panas dan kering yang melanda negeri-negeri Utara dan Timur Semenanjung Malaysia ketika ini adalah keadaan rutin pada penghujung fasa Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip bagaimanapun berkata, musim panas dan kering kali ini didapati bermula lebih awal berbanding kelaziman iaitu hujung Januari hingga Mac.

“Kemungkinan ia berlaku disebabkan kesan fenomena La Nina yang lebih aktif di Hemisfera Selatan apabila aktiviti cuaca tertumpu di Indonesia membabitkan Pulau Jawa dan Sumatera lebih awal daripada kebiasaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Pada 18 Januari lalu, MetMalaysia menerusi kenyataan menjangkakan cuaca panas dan kurang hujan berlaku di kebanyakan kawasan seluruh negara, terutama di utara Semenanjung sehingga 25 Januari.

Analisis model ramalan cuaca menunjukkan suhu maksimum di sesetengah kawasan dijangka boleh mencecah 34 darjah Celsius dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, ribut petir berserta angin kencang untuk tempoh singkat masih berpotensi berlaku, terutama di barat Semenanjung pada lewat petang dan awal malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top