amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Fenomena cuaca panas luar biasa yang melanda beberapa daerah di Malaysia sejak kebelakangan ini berpunca daripada pengaruh Monsun Barat Daya yang lazimnya membawa hujan sedikit ke seluruh negara, sekali gus menyebabkan suhu meningkat apabila tiada hujan selama beberapa hari.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan itu dijangka berterusan hingga September ini.
Namun, beliau berkata, orang ramai tidak perlu panik kerana suhu diramal kembali normal dalam beberapa hari akan datang susulan lebih banyak kawasan dijangka menerima hujan pada awal pagi dan lewat petang.
“Ketika ini, negara sedang mengalami tiupan angin Monsun Barat Daya. Dalam tempoh ini, hujan lazimnya berkurangan di kebanyakan kawasan.
“Bagaimanapun, ribut petir dan hujan lebat tetap boleh berlaku dari semasa ke semasa, terutama di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah pada waktu pagi dan di kawasan pedalaman pada waktu petang atau malam,” katanya.
Beliau mengulas muka depan Harian Metro hari ini bertajuk ‘Bahang Luar Biasa’ yang melaporkan enam daerah iaitu Bandar Baharu (Kedah), Larut, Matang, Kuala Kangsar dan Perak Tengah (Perak) serta Machang dan Kuala Krai (Kelantan) mencatat suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, sekali gus diletakkan dalam kategori Tahap 1 atau berjaga-jaga.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan pakar kesihatan awam dan penduduk.
Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memberi amaran strok haba boleh membawa maut, terutama kepada warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan individu obes.
Penduduk Kampung Labok, Machang, Syahman Kamaruddin, 44, pula berkongsi keadaan panas luar biasa menyebabkan keluarganya terpaksa mandi beberapa kali walaupun pada waktu malam, selain dibebani masalah air keruh di kawasan kediamannya.
Mengulas lanjut keadaan itu, Dr Mohd Hisham turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa minum air mencukupi dan mengelakkan aktiviti luar yang berpanjangan bagi mengelak risiko kesihatan.
“Selain itu, orang ramai juga perlu mengelakkan pembakaran terbuka kerana ia boleh menyumbang kepada kejadian jerebu dan mencemarkan alam sekitar.
“Sebaiknya rujuk maklumat cuaca terkini menerusi laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca atau media sosial kami,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638.
© New Straits Times Press (M) Bhd