Cuaca panas punca tangkapan ular di Kedah melonjak lebih 2,716 kes

Cuaca panas punca tangkapan ular di Kedah melonjak lebih 2,716 kes

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Cuaca panas yang melanda negeri ini sejak Januari lalu menyebabkan kes tangkapan ular meningkat sehingga mencecah lebih 2,716 kes.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata, peningkatan kes tangkapan ular itu adalah disebabkan panas ekstrem sehingga menyebabkan reptilia itu keluar mencari tempat berlindung.

Menurutnya, biasanya ular akan keluar dari habitat asal untuk mencari tempat yang lebih sejuk dan lembap terutamanya di kediaman manusia.

“Jika musim banjir atau hujan pula, ular akan mencari kediaman manusia juga disebabkan peningkatan paras air di kawasan paya dan longkang.

“Untuk cuaca panas ini juga, berdasarkan pengalaman anggota APM, ular akan berlindung di kawasan kediaman penduduk yang sejuk termasuklah di bahagian enjin atau bawah kereta, longgokan sampah, saluran air, dalam kasut atau lubang tandas,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat APM Kedah, hari ini.

Mohd Bukhori berkata, 793 kes tangkapan pada Januari manakala 816 kes pada Februari dan Mac pula 785 kes namun pada bulan ini kes tangkapan ular adalah sebanyak 322 kes.

“Antara daerah tertinggi adalah di Kuala Muda iaitu 477 kes diikuti Kota Setar 470 kes; Kulim (326 kes), Kubang Pasu 322 kes dan Baling 280 kes.

“Spesies yang selalu diterima adalah jenis ular Sawa Batik, tedung Selar dan tedung senduk, ” katanya.

Mohd Bukhori berkata, antara cabaran yang dilalui adalah lokasi keberadaan ular kerana ia ditemui di ruang sempit seperti rak rumah, siling, atau di bawah kenderaan.

“Ia menjadikannya sukar untuk ditangkap tanpa risiko dan petugas perlu menggunakan kemahiran serta pantas berfikir cara yang paling selamat serta memerlukan kemahiran khusus dan keberanian yang tinggi.

“Mangsa yang dipatuk ular dinasihatkan supaya bertenang dan kurangkan pergerakan untuk melambatkan aliran racun ke dalam badan.

“Kkalau boleh jangan sedut racun atau ikat kawasan gigitan terlalu ketat (tourniquet). Sebaliknya cuba kenali ciri-ciri ular berkenaan dan jika sempat, ambil gambar ular (dari jarak jauh) untuk memudahkan doktor mengenal pasti jenis anti-venom yang diperlukan atau terus segera ke hospital, ” katanya.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengemas rumah dan buang longgokan barangan yang tidak digunakan lagi selain mengambil langkah berjaga-jaga dan mengetuk kasut sebelum memakainya.

“Pastikan lubang dan ruang bawah pintu ditutup rapat atau memasang jaring besi dilubang udara serta tingkap.

“Sebelum menggunakan tandas, pastikan periksa terlebih dahulu keadaan sekeliling kerana bimbang kehadiran reptilia itu, ” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top