am@hmetro.com.my
Kangar: Sesi persekolahan di Perlis akan ditangguhkan dan digantikan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) jika suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.
Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin berkata, setakat ini sesi persekolahan berjalan seperti biasa namun pihaknya terikat dengan pelan tindakan bagi menangani gelombang haba.
Katanya, bagi suhu yang merekodkan bacaan antara 35 hingga 37 darjah Celsius (Tahap 1) selama tiga hingga lima hari berturut-turut, semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihadkan.
“Semua penganjuran aktiviti luar seperti acara sukan dan kokurikulum akan ditangguhkan terlebih dahulu jika suhu melebihi tahap berkenaan.
“Malah, perhimpunan hanya boleh diadakan di dalam dewan dengan mengambil kira tempoh yang singkat, peredaran udara yang baik, dan pelajar dikehendaki duduk sepanjang majlis berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, Rose Aza berkata, rentetan cuaca panas yang melanda, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memberi kelonggaran kepada murid dan pelajar untuk memakai kemeja-T sukan sepanjang sesi persekolahan.
Katanya, pelajar juga digalakkan untuk membawa air kosong sendiri dan minum dengan kerap bagi mengelakkan strok haba.
Terdahulu, seluruh Perlis, lima daerah di Kedah, dan Hulu Perak direkodkan berada pada amaran gelombang haba (Tahap 2) setakat 6 pagi semalam.
Untuk rekod, status cuaca panas Tahap 2 merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




