Cuaca panas tidak beri kesan ketara kepada bekalan sayur | Harian Metro

Cuaca panas tidak beri kesan ketara kepada bekalan sayur | Harian Metro

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Bekalan sayur negara masih baik dan tidak begitu terjejas meskipun negara sedang mengalami cuaca panas, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurutnya, jika berlaku masalah bekalan di sesebuah negeri, isu itu akan ditangani dengan bantuan daripada sumber negeri lain.

“Setakat ini, fenomena cuaca panas belum memberi kesan ketara terhadap bekalan sayur-sayuran dari kawasan pertanian utama negara dan bekalan sayur masih banyak.

“Tidak banyak kawasan yang terjejas, malah kita mempunyai sistem sokongan bekalan yang baik, sebagai contoh, jika terdapat kekurangan bekalan di negeri-negeri Utara, hasil dari Selatan akan membantu menampung keperluan.

“Alhamdulillah setakat ini ia masih terkawal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Karnival TVET Pertanian @ KPKM Tahun 2025 di Kemuning Utama dekat sini, hari ini.

Mengulas harga sayur dilaporkan semakin mahal di Cameron Highlands, Mohamad berkata, turun naik harga sayur adalah perkara biasa berikutan pengeluaran bergantung kepada cuaca dan lambakan sayur dari negara luar.

“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan sentiasa memantau dan menangani isu ini. Ia adalah perkara yang sentiasa berlaku dalam keadaan tertentu tetapi tidaklah secara berterusan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top