Cuaca panas tidak halang sukarelawan bersihkan sisa kebakaran di Putra Heights

Cuaca panas tidak halang sukarelawan bersihkan sisa kebakaran di Putra Heights

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Subang Jaya: Keadaan cuaca panas sama sekali tidak menjadi penghalang bagi sukarelawan berkhidmat membantu membersihkan kawasan kediaman mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Satria Malaysia (Satria MIVEC), Isham Kassim berkata, pihaknya diberi tugas khas untuk menebang serta memotong pokok yang sudah mati dan membawa keluar sisa kebakaran.

Katanya, terdapat banyak sisa kebakaran perlu dibawa keluar termasuk tangki air yang sudah cair.

“Kawasan bahagian belakang perumahan mangsa masih terdapat banyak barang yang perlu dialih dan dikemaskan.

“Kami akan mengeluarkan sisa kebakaran ini daripada kawasan perumahan terbabit dan diletak di lorong khas untuk dikutip pihak pengurusan bencana.

“Walaupun berdepan cuaca panas terik hari ini, kami tetap bersemangat untuk membantu mangsa kebakaran,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Isham berkata, Satria MIVEC bersama 40 petugas diberi peluang masuk ke dalam kawasan perumahan terjejas bagi menghulurkan bantuan dalam Program Ops Mega Pembersihan.

Menurutnya, pihaknya bertuah kerana diberi peluang berkhidmat kepada masyarakat meskipun mengetahui risiko yang bakal dihadapi.

Katanya, ini kerana elemen panas di kawasan bencana masih terasa dan persekitaran juga sangat berdebu.

“Ia sebenarnya sangat berisiko kepada sukarelawan, namun langkah-langkah keselamatan diri diambil dengan memakai pelitup muka serta memakai sarung tangan.

“Selain itu, kita juga cuba bekalkan sebanyak mungkin air minuman kepada sukarelawan supaya mereka sentiasa cergas dan tidak terhidrasi semasa bertugas,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor menggerakkan Program Ops Mega Pembersihan di lokasi terjejas kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru selama dua hari bermula hari ini.

Dalam program pembersihan dijalankan, terdapat beberapa sukarelawan menerima rawatan awal oleh pihak perubatan kerana dipercayai mengalami dehidrasi dan strok haba.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top