
Seorang pegawai polis di Balai Polis Rudrapur, daerah Deoria, Uttar Pradesh, India telah digantung tugas pada Khamis berikutan dakwaan cuai dalam mengendalikan kes seorang lelaki yang dipukul hingga mati awal bulan ini. Gambar hiasan
UTTAR PRADESH – Seorang pegawai polis di Balai Polis Rudrapur, daerah Deoria, Uttar Pradesh, India telah digantung tugas pada Khamis berikutan dakwaan cuai dalam mengendalikan kes seorang lelaki yang dipukul hingga mati awal bulan ini.
Ketua Polis, Vikrant Veer berkata, kes tersebut timbul susulan penularan sebuah video di media sosial yang menunjukkan dua pemuda memukul mangsa, Haribhajan alias Bholu Nishad, 22, dengan kejam.
Menurutnya, video yang bertarikh 13 Jun itu dirakam di perkampungan Vithalpur, di bawah pentadbiran Balai Polis Rudrapur.
“Ia turut menunjukkan kemungkinan terdapat individu ketiga yang merakam insiden serangan tersebut.
“Selepas serangan itu, Bholu Nishad telah dimasukkan ke Kolej Perubatan Deoria,” katanya.
Tambah beliau, berikutan kecederaan parah yang dialami, mangsa kemudian dirujuk ke Kolej Perubatan Gorakhpur, namun disahkan meninggal dunia pada 21 Jun.
“Polis pada mulanya telah membuka kertas siasatan dan menahan salah seorang suspek, Raj Nishad.
“Selepas kematian mangsa, polis telah mengubah siasatan kepada kes bunuh dan menghantar suspek ke tahanan reman.
“Dua lagi suspek, Ratandeep Nishad dan Sunny Nishad, masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan,” jelasnya.
Veer berkata, siasatan awal mendapati wujud kecuaian di pihak Ketua Balai Polis Rudrapur, Ranjeet Singh Bhadauriya, dalam menguruskan kes tersebut sehingga menyebabkan kematian mangsa.
“Bhadauriya telah digantung tugas serta-merta dan prosiding tatatertib telah dimulakan terhadapnya,” katanya lagi.