Oleh Ramlah Zainal
am@hmetro.com.my
Bingkisan single terbaharu penyanyi dan pelakon, Nabila Razali berjudul Balas Baik yang juga genre pop moden bukan sahaja transformasinya sebagai penyanyi sekali gus menunjukkan kematangannya sebagai anak seni.
Menggabungkan elemen pop moden, lagu Balas Baik ini mengetengahkan tema penyembuhan, keikhlasan dan kekuatan dalaman yang mencerminkan kematangan dirinya.
Secara peribadi, Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, 32, mengakui dia sudah lama menantikan peluang untuk melancarkan lagu genre pop moden itu dan sudah sampai masa untuk mengubat kerinduan peminatnya.
“Alhamdulillah, saya tampil dengan lagu Balas Baik kerana ramai yang boleh ‘relate’ dengan apa yang saya lalui sekarang dan juga pada masa lalu.
“Saya selalu terima komen yang sangat negatif dan belum pernah ‘melatah’ di media sosial kecuali insiden ‘kacip’ yang berlaku baru-baru ni. Tapi, saya tidak marah (netizen) dan pilih untuk bertanya semula kenapa cara mereka balas (komen) saya sebegitu?
“Jadi, saya lancarkan lagu Balas Baik ini sebab saya nak semua orang termasuk netizen, pengikut saya untuk mulakan dengan balas baik kalau orang buat baik dengan kita dan tetap balas baik kalau orang buat tak baik, supaya kita sama-sama buat benda yang baik, Insya-Allah, ‘dunia’ (industri hiburan) akan aman,” katanya.
Berkongsi kerjasama dengan komposer lagu itu iaitu Audi Mok dan Shazee Ishak pula, kata Nabila, semuanya berlangsung dengan mudah dan cepat.
“Lagu Balas Baik adalah ciptaan Audi dan Shazee dan ia ambil masa tiga bulan untuk mereka buat persediaan untuk lagu ini tapi proses rakaman sehari sahaja.
“Saya juga sudah agak lama tidak muncul dengan lagu genre pop moden dan saya agak memilih dari segi material tapi selepas dengar demo lagu ini, saya terus beritahu pengurusan ia akan jadi single terbaharu.
“Bekerja dengan Audi dan Shazee sangat mudah dan cepat malah mereka dapat siapkan lagu ini dengan baik. Waktu rakaman Audi tiada dan hanya saya bersama shazee di studio,” katanya.
Mengulas status dirinya sebagai isteri, ibu dan imej berhijab pula, kata Nabila, ia bukan halangan untuknya tampil dengan transformasi baharu dalam single Balas Baik berkenaan.
“Saya menyanyi dan menari dalam lagu Balas Baik walaupun pun saya berhijab, sudah berkahwin dan bergelar ibu kerana itu bukan halangan buat diri ini.
“Apa yang penting adalah mesej dan visual dari lagu ini di mana saya memang sudah lama impikan dengan genre lagu rancak sebegitu. Cabarannya ialah untuk menyanyi sambil menari dan saya perlu berlatih dua kali ganda dan harap peminat menyukainya,” katanya.
Nabila berani keluar dari kepompong
Mengulas penampilannya dalam single Balas Baik yang dilihat berani keluar dari kepompong pula, kata Nabila, dia sudah terlalu lama duduk di zon selesa.
“Saya berasa sampai masanya untuk kembangkan sayap dan mencuba benda yang di luar zon selesa.
“Apa yang ditampilkan kali ini sangat baru dan saya juga tengok komen di media sosial dan ramai yang beritahu ada kelainan dan ‘Bella on Fire’ sekali gus ia positif untuk diri saya.
“Insya-Allah, ia hanyalah permulaan untuk mini album dan perancangan untuk album selepas ini. Sebab saya nak hasilkan album di mana semua orang ada satu tanggapan pada lagu saya sebab tak nak hampakan peminat dengan lancarkan sekadar lagu sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, Nabila berharap netizen di luar sana membezakan dirinya sebagai penyanyi di pentas dan dirinya yang sudah bergelar isteri dan ibu di rumah.
“Kalau mereka gabungkan keduanya banyak benda kita tak boleh buat kerana sebagai anak seni kita kena rajin meneroka dan cuba benda baharu.
“Kalau ada yang tidak boleh terima dengan benda baharu yang saya buat ini, saya hormati keputusan mereka kerana lagu ini untuk mereka yang menyokong muzik saya,” katanya.
Ditanya penerimaan suaminya, Nik Iruwan Nik Izani, 39, pada single Balas Baik pula, kata Nabila, dia bersyukur kerana dikurniakan pasangan yang sangat memahami dan menyokongnya dari belakang.
“Suami sangat menyokong dalam apa yang saya buat selagi tidak menjatuhkan maruah keluarga dan nama baik kami.
“Waktu dapat demo lagu ini, saya juga kongsi dengan suami dan dia cakap ‘sound good’ (bagus). Suami juga sentiasa mendorong saya untuk mencuba benda baharu dan meneroka lagi,” kata ibu kepada seorang anak lelaki iaitu Nik Muhammad Nik Iruwan atau lebih dikenali sebagai Baby M.
© New Straits Times Press (M) Bhd




