
Kejadian cubaan rompakan itu seperti dalam babak filem aksi. Foto Agensi
BARI – Satu insiden cubaan rompakan dramatik berlaku di sebuah lebuh raya utama yang menghubungkan Brindisi dan Lecce di wilayah Puglia, Itali.
Kumpulan perompak bertopeng lengkap bersenjata itu menyerang hendap sebuah kenderaan transit tunai berperisai pada pagi Isnin.
Menurut rakaman dikongsikan di media sosial menunjukkan kumpulan terdiri daripada enam lelaki itu bertindak menghalang laluan di kedua-dua arah di State Road 613 berhampiran Tuturano dengan membakar van dan trak.
Mereka turut melepaskan tembakan dan cuba meletupkan van milik perkhidmatan keselamatan BTV tersebut.
Tetapi, ciri keselamatan dalaman kenderaan berperisai tersebut berjaya menghalang rompakan wang tunai itu.
Insiden berbalas tembakan turut terjadi antara unit polis tentera (Carabinieri) ketika mereka cuba melarikan diri. Tiada kecederaan serius atau kematian dilaporkan.
Pihak berkuasa juga terpaksa menutup sementara lebuh raya tersebut untuk operasi pembersihan dan memberi laluan kepada siasatan pasukan forensik.
Difahamkan, dua suspek berjaya diberkas selepas jejak mereka dikesan berhampiran Squinzano manakala usaha memburu baki rakan jenayah mereka masih diteruskan. – Agensi
Ringkasan AI
- Insiden cubaan rompakan berlaku di lebuh raya utama di Puglia, Itali
- Kumpulan perompak menyerang kenderaan transit tunai berperisai
- Kumpulan itu menghalang laluan dengan membakar van dan trak serta melepaskan tembakan
- Ciri keselamatan kenderaan berperisai menghalang rompakan wang tunai
- Dua suspek berjaya diberkas, siasatan terhadap baki rakan jenayah berterusan



