am@hmetro.com.my
Jitra: Tiga sekeluarga ditahan polis kerana disyaki menyeludup masuk dua kilogram (kg) dadah jenis ganja mampat masuk ke negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketiga-tiga mereka terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki yang menaiki sebuah Honda City merah itu ditahan pada jam 10.45 malam ketika melalui pemeriksaan di ICQS pada jam 10.45 malam.
Beliau berkata, ketiga-tiga mereka mempunyai hubungan kakak, adik perempuan dan adik ipar masing-masing berusia 24 hingga 27 tahun.
“Hasil pemeriksaan menemukan dadah disyaki ganja mampat anggaran berat dua kg yang diletakkan di atas tempat tayar simpanan di bahagian bonet kereta berkenaan.
“Kereta itu dipandu wanita berusia 27 tahun dan hasil siasatan lanjut mendapati dia positif dadah jenis dadah tetrahydrocannabinol (THC) manakala adik lelaki iparnya itu positif dadah jenis benzo manakala adik perempuannya negatif dadah.
“Dua beradik perempuan itu dipercayai berasal dari Pokok Sena manakala lelaki itu pula berasal dari Kupang, Baling,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini hari ini.
Adzli berkata, mereka direman tujuh hari sehingga 6 Ogos ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Beliau berkata, hasil pengakuan daripada suspek utama pemandu wanita yang ditahan ini, dia berulang alik ke negara jiran khusus untuk menghisap ganja sejak tahun 2022.
“Hasil siasatan mendapati, dadah yang dirampas adalah untuk kegunaan sendiri dan dia dinasihatkan oleh penjual ganja dari negara jiran itu daripada berulang alik, lebih baik beli banyak untuk stok.
“Ini pengakuan awal la… Mungkin kita boleh percaya dan kita akan siasat sepanjang tempoh reman ini dan kita sudah periksa rumah semua tiada apa yang ditemui,” katanya.
Adzli berkata, jumlah dadah yang dirampas bernilai RM6,200 dan setiap satu kilogram ganja itu bernilai RM3,000 manakala kereta turut dirampas.
© New Straits Times Press (M) Bhd