Cuba seludup ganja RM6.2 juta guna sampan

Cuba seludup ganja RM6.2 juta guna sampan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Perlis: Cubaan menyeludup ganja bernilai lebih RM6.2 juta dari negara jiran gagal selepas sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah menemui sebuah sampan kayu ditinggalkan di pesisir pantai.

Pengarah Kastam Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat risikan daripada Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Jenayah Terancang (AMPOMA) dan Pasukan Risikan Ibu Pejabat JKDM pada 13 Oktober lalu di kawasan Tambak Persisiran Pantai Bukit Putih, Kuala Perlis.

“Dalam operasi sekitar jam 10 malam itu, pasukan dari Cawangan Penguatkuasaan Marin Langkawi bersama Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) menemui sebuah sampan kayu ditinggalkan bersama empat guni bertulisan Thailand.

“Pemeriksaan lanjut ke atas guni berkenaan menemukan sejumlah besar bahan disyaki dadah jenis bunga ganja.

“Hasil timbangan mendapati berat kasar keseluruhan 67.48 kilogram (kg) dengan anggaran nilai rampasan RM6,209,816,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menggunakan sampan kayu sebelum ditinggalkan di kawasan pantai berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah berbahaya.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 15 sebatan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Marini turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada pihak kastam bagi membantu membanteras jenayah berkenaan.

Katanya, orang awam boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran dan identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top