Cubaan lelaki miliki 3 rekod lampau larikan diri gagal

Cubaan lelaki miliki 3 rekod lampau larikan diri gagal

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Lelaki dengan tiga rekod lampau berkait jenayah dan dadah dicekup pihak berkuasa selepas cubaan melarikan diri dengan memandu kenderaan secara berbahaya gagal.

Lelaki berusia 20-an yang melarikan diri dengan memecut kenderaan bermula dari Tumpat ditahan di Jalan Sri Cemerlang jam 6.54 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff berkata, pihaknya menerima maklumat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat mengenai Unit MPV yang mengejar dua kenderaan dan menghala ke daerah ini.

“Kenderaan Mitsubishi Pajero dan Proton Preve yang dipandu berjaya ditahan di Jalan Sri Cemerlang, di sini jam 6.54 petang.

“Pemandu Mitsubishi Pajero yang berusia lingkungan 20-an berjaya ditahan manakala seorang lagi yang memandu Proton Preve melarikan diri dengan meninggalkan keretanya.

“Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu menemui sebotol plastik cerah mengandungi cecair keperangan disyaki rebusan ketum serta satu tiub berisi pil kemerahan dipercayai yaba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Ruzailan berkata, hasil semakan yang dibuat mendapati suspek yang ditahan memiliki tiga rekod lampau bersabit jenayah dan dadah.

Menurutnya, pemeriksaan nombor chasis pada Proton Preve mendapati ia adalah palsu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top