am@hmetro.com.my
Shah Alam: Cubaan seorang tekong warga tempatan menyeludup keluar 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laut di perairan Tanjong Karang gagal selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, kelmarin.
Kegiatan itu dikesan menerusi hasil risikan serta maklumat awam, sebelum pasukan rondaan digerakkan di bawah Op Ehsan, Op Tiris dan Op Patkor Optima Malindo 32/25.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, terdahulu, pihaknya mengesan bot fiber tanpa nombor pendaftaran pada 11.10 malam sebelum ia dipintas.
“Bot terbabit enggan berhenti walaupun sudah diarahkan sehingga dikejar hampir 10 minit sebelum ditahan di perairan kira-kira 5.5 batu nautika di barat Tanjong Karang.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 21 lelaki berusia 22 hingga 50 tahun, termasuk seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun, 12 wanita berusia 25 hingga 63 tahun, termasuk seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun.
“Kesemua mereka berhimpit di dalam bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Abdul Muhaimin berkata, semua PATI gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tekong warga tempatan berusia 27 tahun itu ditahan bersama bot fiber.
“Siasatan awal mendapati sindiket mengenakan caj antara RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap PATI, bergantung kepada jarak lokasi perjalanan.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana cubaan keluar melalui laluan tidak diwartakan, manakala tekong disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
Beliau berkata, kesemua tahanan bersama bot dibawa ke jeti APMM Selangor untuk siasatan lanjut.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat sebarang kegiatan mencurigakan di laut melalui talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




