Cucu sudah sedar, tercari-cari ibu dan bapanya

Cucu sudah sedar, tercari-cari ibu dan bapanya

am@hmetro.com.my

Chukai : “Cucu sudah sedar, namun dia tercari-cari ibu dan bapanya,” kata Ngah@Taha Husin, 77, bapa kepada Rohafiza Taha, 50, yang maut bersama suami dalam kemalangan berhampiran Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Batu 10, Jalan Kuantan-Maran, jam 2 pagi hari ini.

Katanya, cucunya, Othman Wafri Mohd Fadli, 11, yang dilaporkan parah dan kini masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

“Saya sangat sedih mengenangkan nasib cucu yang kini yatim piatu.

“Setakat ini, saya belum berbincang dengan anak-anaknya lain untuk menjaga anak arwah.

“Namun, insya-Allah saya berjanji akan menjaga cucu supaya menjadi anak yang baik dan berpendidikan sehinggalah saya menutup mata,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman, hari ini.

Ngah berkata, dia menerima berita mengenai kemalangan menimpa anaknya yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggol Kemaman dan menantunya, Mohd Fadli Mohd Abidin, 49, bekas pesara bomba, jam 5.10 pagi.

“Sebelum itu saya terima panggilan daripada seorang anak yang menangis tidak henti-henti, namun dia tidak beritahu Rohafiza dan Mohd Fadli kemalangan.

“Dia hanya menangis, tidak lama kemudian tiga guru wanita datang ke rumah memaklumkan anak saya meninggal selepas terbabit kemalangan di Kuantan,” katanya.

Ngah berkata, dia sangat terkejut mendengar berita itu dan terpaksa mengambil masa untuk memaklumkan perkara itu kepada isterinya, Zainun Abu Bakar, 71, yang uzur.

Bagaimanapun, isterinya dapat menerima berita itu dengan tenang dan hanya mampu menangis.

Menurutnya, ketika kejadian tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Geliga Besar di Kemaman.

“Mereka pergi ke Melaka untuk mendapatkan rawatan perubatan tradisional kerana menantu saya menghidap sakit jantung.

“Bulan lalu, mereka sudah mendapatkan rawatan di sana dan menantu beritahu kesihatannya sangat baik dan ke sana sekali lagi untuk berubat,” katanya.

Ngah berkata, Rohafiza anak kedua daripada enam beradik itu ada memaklumkan kepadanya untuk ke Melaka dan tiga beranak itu bertolak ke Melaka kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Katanya, anak dan menantunya itu tidak menunjukkan perbuatan pelik namun pada malam sehari sebelum kejadian itu, dia tidak dapat tidur sehingga ke Subuh.

“Biasanya jam 10.30 malam saya akan tidur tetapi malam itu pelik sangat sebab tidak dapat tidur, rupanya itu petanda mereka akan pergi buat selama-lamanya.

“Ini adalah kejadian ketiga. Sudah tiga menantu saya pergi meninggalkan saya dan kali ini anak saya turut sama pergi menghadap Ilahi,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2 pagi itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki tiga beranak itu dipercayai terbabas sebelum melanggar sebuah jentera pengorek yang berada di bahu jalan.

Jenazah pasangan itu yang disembahyangkan di Masjid Geliga kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman, kira-kira 6.15 petang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top