'Cucuk dahulu, baru cerita pilihan raya'

'Cucuk dahulu, baru cerita pilihan raya'

mdroji@nstp.com.my

KUCHING: Kerajaan Sarawak belum membincangkan tarikh sesuai mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) walaupun separuh iaitu 1.3 juta rakyatnya sudah mendapat vaksinasi COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata pihaknya memberi tumpuan terhadap usaha melengkapkan vaksinasi ke atas 2.08 juta rakyat yang layak.

Dengan lebih 50 peratus rakyat sudah menerima vaksin ketika ini, pihaknya yakin sasaran melengkapkan program imunisasi di Sarawak dapat dicapai menjelang penghujung Ogos depan.

“Walaupun Sarawak mencatat jumlah proses vaksinasi harian tinggi dan sudah melepasi 50 peratus daripada populasi, kami belum memikirkan soal pilihan raya.

“Fokus lebih penting ialah program vaksinasi. Agenda paling utama kerajaan negeri sekarang ialah keselamatan rakyat,” katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Jalan Masjid di Dewan Majma’ di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tamat penggalnya pada 7 Jun lalu, namun kekal berfungsi hingga 1 Ogos depan mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Berikutan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN Sarawak dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Abang Johari berkata, sasaran melengkapkan vaksinasi menjelang penghujung Ogos boleh dicapai dengan penerimaan vaksin CanSino yang dijangka tiba pertengahan bulan ini.

“Sekarang Sarawak menerima tiga jenis vaksin iaitu Pfizer BioNTECH, Sinovac dan AstraZeneca.

“Jika vaksin CanSino tiba mengikut jadual, saya yakin proses vaksinasi akan dapat dipercepatkan kerana ia adalah dos tunggal dan sesuai dihantar ke kawasan pedalaman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top