Madrid: Real Madrid dilaporkan mencapai persetujuan dengan Chelsea untuk mendapatkan khidmat pertahanan kiri Sepanyol, Marc Cucurella selepas tamat saingan Piala Dunia 2026.
Menurut laporan, perpindahan pemain berusia 27 tahun itu bernilai AS$55 juta (RM259 juta), sekali gus menjadikannya antara pembelian utama Los Blancos bagi memperkukuhkan benteng pertahanan menjelang musim baharu.
Cucurella menyertai Chelsea dari Brighton pada 2022 selepas menimba pengalaman di akademi Barcelona sebelum berhijrah ke Getafe.
Presiden Real Madrid, Florentino Perez yang dipilih semula menerajui kelab itu awal bulan ini, turut melantik semula Jose Mourinho sebagai ketua jurulatih selepas gergasi Sepanyol itu mengharungi dua musim tanpa sebarang trofi utama.
Selain Cucurella, Real Madrid juga dilaporkan hampir mendapatkan pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate sebaik kontraknya di Anfield berakhir, selain dikaitkan dengan pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva dan bek sayap Inter Milan, Denzel Dumfries.
Chelsea pula mengharungi musim yang mengecewakan apabila sekadar menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-10.
Cucurella sebelum ini pernah mengkritik keputusan Chelsea memecat Enzo Maresca pada Januari lalu walaupun pengendali itu membantu kelab memenangi Piala Dunia Kelab dan Liga Konferensi UEFA pada 2025.
Pemain antarabangsa Sepanyol itu masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun di Stamford Bridge, namun perpindahan ke Santiago Bernabeu dilihat bakal membuka lembaran baharu dalam kariernya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




