Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan bahawa penjawat awam mesti bebas daripada pengaruh parti politik.
Presiden Cuepacs Datuk Dr Adnan Mat berkata titah Seri Paduka Baginda itu menekankan kepentingan penjawat awam menjunjung prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara dengan melaksanakan tugas secara jujur serta amanah.
“Cuepacs menyokong penuh titah Seri Paduka Baginda. Seri Paduka Baginda mengingatkan bahawa penjawat awam perlu kekal profesional dan tidak terlibat dalam pergelutan politik yang boleh menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.
“Cuepacs percaya bahawa penjawat awam mampu melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa dipengaruhi oleh kemelut politik semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua penjawat awam terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan berkesan kepada rakyat serta negara memandangkan mereka adalah tonggak kepada pentadbiran kerajaan selain perlu bertindak secara profesional.
“Penjawat awam diingatkan untuk kekal bebas daripada sebarang ideologi politik dalam usaha menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah naungan institusi diraja.
“Mereka perlu bijak mendepani cabaran dan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas walaupun berlaku perubahan dalam kerajaan,” katanya.
Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini turut meminta penjawat awam agar sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.
“Pegawai kerajaan haruslah memastikan setiap keputusan yang dibuat mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan, bukan mengikut telunjuk orang politik,” titah Seri Paduka Baginda.
Sementara itu, beberapa penjawat awam turut menyokong titah Seri Paduka Baginda dan berpandangan ia amat tepat serta wajar diberikan perhatian serius.
Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri Amira Abdul Halim, 36, berkata penjawat awam tidak harus dipengaruhi agenda politik tertentu kerana dalam sesebuah negara demokrasi yang matang, mereka merupakan tulang belakang kepada pentadbiran negara yang cekap, adil dan telus.
“Menjaga integriti dan profesionalisme dalam perkhidmatan awam bagi memastikan bahawa dasar-dasar yang dilaksanakan adalah berlandaskan keperluan rakyat dan kepentingan negara, bukannya dipengaruhi agenda politik tertentu,” katanya.
Beliau berkata penjawat awam juga harus sentiasa berpegang teguh kepada etika kerja dan nilai integriti dengan keputusan dibuat mengikut peraturan, bukannya arahan politik demi prinsip tadbir urus yang baik untuk memelihara maruah perkhidmatan awam.
Amira berkata Tonggak 12 adalah panduan etika untuk penjawat awam yang menekankan nilai-nilai utama termasuk menghargai masa, ketekunan, keseronokan bekerja, kemuliaan, tanggungjawab, kebijaksanaan berhemat dan peningkatan bakat perlu dipatuhi.
Bagi Penolong Pegawai Tadbir di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang hanya ingin dikenali sebagai S. Meettra, titah Seri Paduka Baginda perlu dijadikan panduan tidak kira petugas di peringkat bawahan mahupun pegawai atasan.
“Sebagai penjawat awam, kita perlu menjadi contoh kepada pelapis akan datang bahawa tugasan kita adalah berpaksikan undang-undang dan pekeliling tanpa perlu campur tangan luar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd