amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Langkah kerajaan mempertimbangkan kenaikan cukai tembakau dilihat wajar dan tepat pada masanya dalam usaha mengekang peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti sakit jantung.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Dr Afzanizam Abdul Rashid berkata, campur tangan kerajaan secara lebih berkesan amat diperlukan kerana tahap kesihatan rakyat mempunyai kaitan langsung dengan produktiviti negara.
“Kesihatan yang baik akan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat kerana ia menyumbang secara langsung kepada tahap produktiviti.
“Rakyat yang sihat boleh bekerja dan berniaga tanpa kekangan kesihatan. Malah, ia juga boleh membantu dalam menjana idea bernas yang sekaligus menyumbang kepada inovasi dan penciptaan nilai ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemungkinan kerajaan menaikkan cukai tembakau.
Mengulas lanjut, Dr Afzanizam berkata, pelaksanaan dasar itu kelak bagaimanapun perlu disertai penerangan jelas supaya rakyat benar-benar faham manfaat dan hala tuju sebenar yang ingin dicapai.
“Langkah ini dilihat tepat, namun ia perlu diterangkan dengan sejelas-jelasnya dengan bahasa yang mudah supaya rakyat faham akan hala tuju dasar ini dan bagaimana ia boleh memanfaatkan mereka.
“Saya tak pasti berapa harga rokok perlu dinaikkan. Tetapi kalau setakat harga yang mahal sahaja mungkin tak cukup. Kena ada tindakan lain juga seperti denda merokok di tempat awam serta kempen kesihatan yang menyeluruh.
“Bagi saya, objektif dasar kena jelas iaitu mahu mengurangkan perokok dan sekali gus mengurangkan pesakit-pesakit NCD,” katanya.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Rosnah Sutan lebih keras dalam reaksinya apabila mendesak supaya kerajaan menghentikan sepenuhnya pengilangan rokok di negara ini dan pengimportannya.
“Barang mudarat kalau letak harga tinggi pun macam dadah, ada orang beli juga. Sebaiknya jangan bawa masuk langsung rokok dalam negara. Kilang rokok dalam Malaysia pun patut diberhentikan lesen,” katanya dalam jawapan ringkas.
Kelmarin, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengesahkan kerajaan sedang menimbang menaikkan kadar cukai tembakau dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan Oktober ini.
Beliau dilaporkan berkata, kadar cukai semasa iaitu 58.60 peratus daripada harga runcit tidak pernah disemak semula sejak kali terakhir dinaikkan pada September 2014, selain tiada mekanisme rasmi bagi pelarasan harga secara berkala.
Ia juga sebahagian daripada usaha memperluas cukai prokesihatan yang turut merangkumi gula, rokok elektronik dan alkohol seperti diumumkan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) minggu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd