“Cukup Tiga Tahun Berdiam Diri” – Intan Najuwa Tuntut RM1.3 Juta, Seru Rizman Ruzaini Patuhi Perintah Mahkamah

“Cukup Tiga Tahun Berdiam Diri” – Intan Najuwa Tuntut RM1.3 Juta, Seru Rizman Ruzaini Patuhi Perintah Mahkamah

Pelakon, Datin Intan Najuwa bersama suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman, akhirnya tampil bersuara secara terbuka apabila menuntut jenama pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini Creations Sdn Bhd, melunaskan bayaran berjumlah RM1.3 juta seperti yang diarahkan Mahkamah Tinggi.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Intan memuat naik tangkap layar penghakiman mahkamah bertarikh 16 Disember lalu yang jelas tertera nama defendan termasuk Rizman Ruzaini Creations Sdn Bhd, Rizman Nordin serta Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil.

Menurut dokumen berkenaan, pihak defendan diarahkan membayar RM1,300,000 kepada plaintif pada atau sebelum 15 Januari 2026.

Mahkamah turut memerintahkan kadar faedah lima peratus dikenakan ke atas jumlah tersebut bermula 16 Januari 2026 sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya, selain kos guaman berjumlah RM15,000 yang perlu dibayar serta-merta.

Menjelaskan keputusannya mendedahkan perkara demikian kepada umum, Intan berkata dia dan suami memilih untuk bersabar hampir tiga tahun demi menghormati proses perundangan yang berjalan.

“Setelah hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri, suami dan saya kini tampil secara terbuka berdasarkan keputusan mahkamah yang telah diputuskan.

“Kenyataan ini dibuat khusus bagi menyeru Pereka Fesyen, Rizman Ruzaini melaksanakan pembayaran semula pinjaman seperti yang telah diarahkan oleh Mahkamah, tanpa melibatkan mana-mana pihak atau pereka fesyen lain.

“Ia dibuat secara berfakta dan berhemah, selaras dengan keputusan undang-undang yang sah selepas kami menunggu dan menghormati sepenuhnya proses perundangan,” tulisnya.

Scroll to Top