am@hmetro.com.my
Hulu Terengganu: Ahli UMNO Terengganu perlu memulakan gerak kerja dari sekarang dan bukannya terus bersedih dengan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata semua ahli UMNO khususnya Wanita UMNO perlu bangkit semula untuk mendekati serta memenangi hati pengundi dan bukannya menunggu pada saat-saat akhir.
“Semua sayap, Wanita, Pemuda dan Puteri kena mulakan gerak kerja dari sekarang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang.
“Kena kerja kuat. Perlu sentiasa turun padang dekati, ramah mesra dengan pengundi. Bukan hanya Wanita, semua sayap parti dipelbagai peringkat perlu bekerja kuat.
“Sebelum ini kita pernah menang, tidak mustahil hasil usaha dari awal dilakukan, pada PRU akan datang kita boleh menang semula,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat.
Noraini berkata, BN perlu kembali dan berusaha dan ketepikan perbezaan pendapat yang berlaku dalam parti untuk memastikan kemenangan dalam PRU akan datang.
Selain itu katanya, ketiga-tiga sayap parti perlu ‘mengharmonikan’ peranan masing-masing bagi memastikan rakyat di pelbagai peringkat dapat disantuni dengan baik serta terus dapat dijaga erat.
Katanya, Pergerakan Wanita mungkin boleh meneruskan gerak kerja dengan menyantuni rakyat dari rumah ke rumah manakala sayap Pemuda serta Puteri pula bergerak dengan pelbagai strategi kempen termasuk di media sosial.
“Ikut sebagaimana strategi yang telah dirancang,” katanya.
Sementara itu, Rozi dalam ucapan berkata, semua ahli tidak menoleh ke belakang dan perlu terus bergerak untuk menang pada PRU akan datang.
“Yang lepas jangan dikenang, kita perlu kuat dan setia bersama parti dan jangan sesekali khianati parti” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd